PETALING JAYA – Masih solo selepas bergelar janda, pelakon Nonny Nadirah mengakui sedang menunggu jejaka baik kurniaan Tuhan yang sesuai dengannya.
Percaya dengan kuasa doa, Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 34, juga menetapkan kriteria tertentu yang diinginkan daripada seorang lelaki yang bakal menjadi imamnya.
“Status saya sekarang, single, janda. Tapi maaf, tak ‘available’.
“Saya sedang menunggu putera saya daripada Allah. Nak yang tinggi cecah julang ke langit!
“Saya percaya dengan doa, tak dapat dekat dunia Allah pasti bagi dekat akhirat,” katanya menerusi Instagram Story.
Sering dipersalahkan dalam perhubungan, pelakon drama Luka Di Hati Diya itu menzahirkan rasa kesal selain menasihatkan kaum Adam supaya tidak bersikap berat sebelah pihak.
“Dulu saya selalu terkena, asyik saya sahaja yang dianggap nakal.
“Sekarang lelaki, hmm… saya simpan komen saya. Jangan asyik cari ‘point’ isteri sahaja yang salah. Tolonglah,” ujarnya.
Terdahulu, Nonny pernah bercinta dengan aktor Niezam Zaidi namun hubungan mereka tidak kesampaian apabila perkahwinan yang dirancang dibatalkan.
Sebelum itu, Nonny pernah mendirikan rumah tangga dengan Mustain Adnan pada 2018 tetapi jodoh mereka hanya bertahan selama setahun.
Lama menghilang, Nonny baru-baru ini mencetuskan kontroversi dengan memuat naik video menari sambil berkemban.
Bukan itu sahaja, bekas peserta Akademi Fantasia itu juga turut mengejutkan peminatnya apabila tampil dengan imej botak.
Sering melakukan perkara pelik, Nonny disifatkan netizen sebagai dahagakan perhatian. – KOSMO! ONLINE