PILIHAN Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap sudah berakhir minggu lalu dan seperti diketahui ramai, calon Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Namun, ramai juga dalam kalangan rakyat termasuk pengundi Sungai Bakap tidak mengetahui bahawa kos yang diperlukan bagi melaksanakan PRK tersebut adalah sebanyak RM2.1 juta.
Bagi PRK DUN Nenggiri yang akan berlangsung pada 17 Ogos depan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini memaklumkan kos yang diperlukan bagi memilih wakil rakyat baharu di kawasan tersebut dijangka menelan belanja RM1.6 juta.
DUN Nenggiri terletak dalam Parlimen Gua Musang di Kelantan, manakala DUN Sungai Bakap pula berada dalam Parlimen Nibong Tebal di Pulau Pinang. Jika dihitung, kos bagi kedua-dua PRK ini sudah mencecah RM3.7 juta.
Sesuatu yang menarik, pelaksanaan PRK di kedua-dua DUN ini diadakan dengan alasan yang berbeza.
PRK Sungai Bakap diadakan ekoran kematian wakil rakyatnya, manakala PRK Nenggiri pula dibuat selepas Speaker DUN Kelantan mengumumkan kekosongan kerusi tersebut setelah wakil rakyatnya didakwa hilang keahlian parti.
Ironinya, apa juga alasan yang berlaku, duit kerajaan akan terus mengalir untuk tujuan pilihan raya.
Dan harus diingat, jumlah yang diperlukan untuk setiap pilihan raya sama ada peringkat DUN mahupun Parlimen bukannya kecil. Ia menelan belanja jutaan ringgit dan sekiranya digunakan untuk kemudahan dan kebajikan rakyat, ramai yang akan mendapat manfaat.
Terbaharu, khabar dari Dewan Rakyat melaporkan Tan Sri Johari Abdul selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat telah membuat keputusan untuk menolak permohonan parti Bersatu yang menuntut supaya kerusi enam Ahli Parlimen yang terlibat dikosongkan.
Keputusan itu membawa makna bahawa tiada sebarang pilihan raya kecil akan berlaku melibatkan enam Parlimen berkenaan dalam masa terdekat, melainkan ada keputusan terbaharu yang dibuat terutama melibatkan aspek perundangan.
Andai PRK di enam parlimen itu berlangsung, SPR mungkin perlu membelanjakan lagi sekurang-kurangnya RM30 juta untuk memastikan proses demokrasi dapat dijalankan seperti sepatutnya.
Anggaran RM30 juta itu selepas mengambil kira purata kos sebanyak RM4 juta hingga RM5 juta bagi setiap pilihan raya di peringkat Parlimen.
Di sisi rakyat, selain melihat kos tersebut sebagai satu pembaziran, keterujaan mereka untuk keluar mengundi dan memilih wakil rakyat baharu bukan lagi menjadi satu keutamaan.
Buktinya cukup jelas apabila peratusan keluar mengundi pada setiap PRK yang diadakan sebelum ini menunjukkan trend menurun berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bagi rakyat, apa yang penting ketika ini adalah mengenai kelangsungan diri dan keluarga dan bukannya sibuk menjulang politikus yang bercita-cita menjadi Yang Berhormat.