PETALING JAYA – Pada 20 Julai ini, rakyat berpeluang menyaksikan alat kebesaran Diraja bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di- Pertuan Agong ke-17.
Alat kebesaran yang menjadi identiti atau imej pemerintah dan kerajaannya ini akan dibawa dengan tertib oleh para panglima, hulubalang Istana dan Dang Perwara.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini, antara alat kebesaran berkenaan ialah pedang, keris panjang dan sundang Diraja, tiga senjata Melayu tradisional yang dijadikan sebahagian daripada Alat Kebesaran Diraja serta payung ubur-ubur kuning dan tombak berambu.
“Bagi Malaysia yang memelihara Institusi Beraja dengan mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara, alat kebesaran Diraja ini diwarisi sejak kemerdekaan negara,” jelas hantaran berkenaan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, bakal diadakan di Istana Negara, Kuala Lumpur, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan.
Menurut beliau, enam acara sampingan diadakan bersempena istiadat itu bermula dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai di Masjid Negara diikuti Khutbah Khas Solat Jumaat di masjid sama pada keesokan hari.
“Acara terakhir adalah Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai nanti di Istana Negara Turut diadakan Majlis Santapan Diraja di istana tersebut pada 20 Julai, disusuli lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli di Gombak, Selangor pada 23 Julai,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata Pameran Raja Kita juga berlangsung pada 25 Julai di Muzium Negara, Kuala Lumpur yang bertujuan memupuk perasaan cinta kepada institusi beraja nasional. – KOSMO! ONLINE.