fbpx

Mamat ‘main’ dadah bukan sebab salah pilih kawan – Ajai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEROSAKKAN reputasi Mamat akibat najis dadah disifatkan Ajai sebagai salah Mamat sendiri. bukannya didorong orang lain.

KUALA LUMPUR – Komposer yang juga anggota Exists, Ajai menyangkal pendapat dakwaan rakan sekumpulannya Musa yang menyifatkan kehancuran hidup dan karier Mamat impak najis dadah berpunca daripada faktor salah pilih kawan.

Ajai atau nama sebenarnya, Mohd Faizal Maas, 49, percaya kesilapan tersebut sebaliknya berpunca daripada diri sendiri, bukan dipengaruhi mana-mana pihak atau individu lain.

“Sebenarnya semua itu terletak pada hati Mamat sendiri. Apa yang terjadi bukan salah orang lain sebaliknya berlaku kerana hati sendiri yang masih ‘on off’ benda itu.

“Kalau ada orang bagi (bahan terlarang) dan hati kamu tak nak, tak jadi juga benda itu, jadi pucuk pangkal terpulang kepada kemahuannya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ajai berkata, sebagai sahabat dia enggan menuding jari menyalahkan insan di sekeliling vokalis terbabit seperti diluahkan pemain best Exists, Musa namun mengetahui rakan mereka itu sudah berusaha membantu Mamat.

“Saya tak akan salahkan orang di sekeliling Mamat. Cuma mungkin ketika Musa mengeluarkan kenyataan bahawa Mamat lebih baik keluar dari kampung, saya percaya dia tidak memaksudkannya.

“Mungkin dia begitu hampa dan kecewa sebab selama ini Exists banyak sokong Mamat tapi bila dia balik kampung sahaja dia akan kena tangkap. Sebab bila Mamat di Kuala Lumpur bersama kami, dia okey sahaja, mungkin itulah maksud Musa.

“Bukanlah dia salahkan orang kampung sebab itu saya cakap tadi, pucuk pangkalnya Mamat sendiri. Orang lain nasihat pun tak guna kalau kamu masih tak ada pendirian untuk berhenti,”katanya
ketika ditemui pada sidang media TikTok Live X Astro Gimme The Mic Malaysia, semalam.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada anggota Exists termasuk dirinya ada membantu Mamat, Ajai berkata, sebagai rakan mereka semua sudah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Sebenarnya kami selalu cuba membantu dia untuk berubah dan kalau kalian tengok sekarang, muka dia dah segar dan kes dia ini bukanlah satu sahaja,cuma ada ditunda sebab ada banyak konsert Exist sebelum ini.

“Sehinggalah selepas selesai konsert orkestra tempoh hari, barulah Mamat selesaikan kes mahkamah.

“Sekarang dia perlu berehat selama enam bulan dan selepas itu baru dia boleh sertai kami semula. Pintu selalu terbuka untuk dia,” ujarnya.

Pada masa sama, pemain keyboard itu turut meminta semua pihak terus mendoakan Mamat agar cekal berjuang memperbaiki diri dan pulih daripada najis dadah.

“Kita sama-sama doa agar Allah berikan hidayah supaya dia sedar dan tinggalkan benda itu (dadah) dengan dan ‘bersih’.

“Dia seorang yang sangat bagus dalam memberi komitmen bahkan apabila dengan kami, disiplinnya juga terjaga. Dia tahu kerja, selalu datang latihan tapi kami faham mood dia akan berubah-ubah, kita doakan dia,” katanya.

Pada 8 Julai lalu Mamat atau atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 47, didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Johor Bahru, atas dua kesalahan iaitu memasukkan dadah ke dalam badan dan memiliki dadah pada 2019.

Mamat diperintahkan untuk menjalani tempoh pengawasan bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang selama dua tahun.

Susulan itu, Musa yang mengulas situasi dihadapi rakan sekumpulannya berkongsi kenyataan seorang peguam yang menyarankan penyanyi tersebut keluar dari kampungnya supaya kawan-kawan lama tidak mencarinya lagi.

Menurut Musa, sangat sukar untuk Mamat pulih kerana ‘kawan-kawan lamanya’ datang mencari pada ketika dia mula bersedia untuk berubah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI