KUCHING – Bintang import Kuching City, Jordan Mintah nyata berada pada prestasi terbaik apabila memacu kemenangan 2-0 pasukannya ke atas PDRM FC di Stadium Negeri, sebentar tadi.
Pemain kelahiran Ghana itu cemerlang mencipta bantuan jaringan dan turut meledak satu gol untuk memastikan kemenangan sulung The Cats dalam saingan Liga Super musim ini.
Kuching City yang hampir mengejutkan Selangor pada siangan Piala FA bermula cemerlang apabila umpanan Mintah seawal minit kedua membolehkan Danial Amier Norhisham meledak gol pembukaan perlawanan.
Minit ke-33, The Cops dihadiahkan sepakan penalti namun tuan rumah jelas berada pada prestasi terbaik dan kali ini penjaga golnya, Shahril Saa’ri berjaya menyelamatkan sepakan Ifedayo Olusegun.
Tujuh minit selepas aksi bersambung, Kuching City berpeluang menambah jaringan sebaliknya sepakan percuma Mohamad Alif Hassan sekadar singgah di palang gol.
Walaupun PDRM FC cuba memburu jaringan penyamaan, corak permainan Kuching City jelas lebih teratur namun sering kali digagalkan oleh sentuhan penyudah.
Bagaimanapun sebaik memasuki minit ke-87, kesilapan kapten pelawat, Kyaw Min Oo yang melakukan kekasaran mengundang padah apabila Kuching City dihadiahkan penalti dan kesempatan itu tenang disempurnakan oleh Mintah. – KOSMO! ONLINE