BANGKOK – Polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah sewa di daerah Phra Pradaeng, wilayah Samut Prakan dekat Bangkok kerana mencetuskan kekacauan selepas cintanya ditolak gadis Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Iqbal itu berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian. Dia kemudian merosakkan barangan di dalam bilik sewa rakan gadis itu di Samut Prakan.
Sepasukan anggota dari Balai Polis Phra Pradaeng seterusnya tiba di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.
Setiap anggota polis membawa senjata yang kerap digunakan untuk mengawal penghidap sakit mental atau penagih dadah.
Video operasi penangkapan itu dikongsi oleh stesen televisyen, Channel 8.
Gadis yang diminati Iqbal bernama Karntida yang berumur 23 tahun.
Dia mendedahkan kepada Channel 8 bahawa bot nelayan milik Iqbal berlabuh di sebuah jeti berhampiran tempat kejadian, beberapa hari sebelumnya.
Iqbal mula minum bir pada malam sebelum kejadian dan mengaku cintanya kepada Karntida tetapi wanita itu menolak dengan baik.
Dalam keadaan marah, dia pergi ke bilik rakan Karntida dan merosakkan barangan.
Karntida dan beberapa rakannya tidak dapat mengawal Iqbal dan memutuskan untuk mendapatkan bantuan polis. – AGENSI