KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai untuk memastikan hanya menderma dan memberi sumbangan kewangan kepada pertubuhan yang didaftarkan serta menjalani proses audit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamad Yoosuf berkata, penyelewengan wang membabitkan persatuan dan pempengaruh baru-baru ini seharusnya membuka mana semua pihak soal memberi derma.
Katanya, sifat mudah simpati dan kasihan masyarakat untuk membantu individu yang dilanda musibah telah membuka ruang kepada individu yang tidak bertanggungjawab untuk menangguk di air keruh dengan menggunakan alasan derma.
“Orang ramai perlu memastikan mereka menderma dan memberi sumbangan kewangan hanya kepada pertubuhan yang didaftarkan dan yang menjalani proses audit.
“Derma dan sumbangan kini tidak hanya melibatkan bantuan ketika bencana tetapi kini ia turut melibatkan perkara seperti bantuan bayaran yuran guaman dan sumbangan untuk pembelian haiwan bagi tujuan korban di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ramli menegaskan orang ramai perlu tahu bagaimanana wang derma mereka digunakan.
“Akaun bank milik pertubuhan yang mengutip derma ini perlu menjalani proses audit bagi memastikan wang derma yang diterima disalurkan kepada pihak yang sepatutnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai beberapa tangkapan melibatkan individu dan pempengaruh media sosial berkaitan penyelewengan wang derma baru-baru ini.
Semalam, pasangan suami isteri pempengaruh media sosial dipercayai terlibat dalam isu penyelewengan wang kutipan derma direman empat hari bagi membantu siasatan.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan pasangan berkenaan disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam sejak 2020 yang dianggarkan mencecah RM3 juta.
Dalam perkembangan lain, 9 Julai lepas polis menahan seorang lelaki di kediamannya di Wangsa Maju di sini dipercayai terlibat dengan penipuan dalam urusan bayaran guaman dan kutipan dana sejak tahun lepas melibatkan kerugian lebih RM140,000. – KOSMO! ONLINE