MANCHESTER – Manchester United telah mencapai persetujuan dengan Lille untuk perpindahan pemain pertahanan muda, Leny Yoro menerusi yuran sebanyak £42 juta (RM245.7 juta) yang boleh meningkat sehingga £51 juta (RM298.35 juta).
Bagaimanapun, pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano melaporkan bahawa pemain berusia 18 tahun itu lebih berminat untuk menyertai Real Madrid selepas mengharungi musim cemerlang bersama Lille dengan 44 penampilan.
Penampilan Yoro dalam 32 perlawanan liga utama musim lepas telah cukup menjadikannya sebagai salah satu pemain pertahanan paling diidamkan di Eropah dengan peningkatan prestasinya menarik minat banyak kelab terkemuka termasuk Real dan United.
Sementara itu, United telah memulakan perbincangan dengan wakil Yoro dan terdapat persetujuan mengenai jumlah wang yang diperlukan untuk merealisasikan perpindahan tersebut.
Namun, Yoro masih memilih Real sebagai destinasi utamanya, memaksa kem United perlu berusaha mempercepatkan perjanjian melalui pendekatan agresif dalam rundingan bersama Lille.
The Red Devils sedang mencari sekurang-kurangnya seorang pemain pertahanan tengah dan sedang berusaha mengalihkan perhatian mereka kepada Yoro selepas Everton menolak bidaan kedua mereka buat Jarrad Branthwaite.
“Bagi Leny Yoro, situasinya mungkin bertentangan dengan Branthwaite kerana mereka mempunyai persetujuan dengan Lille mengenai yuran berharga £42 juta (RM245.7 juta), ditambah pula apabila boleh mencapai £51 juta (RM298.35 juta),” kata Romano. – AGENSI