fbpx

Bayar RM14,000 konon dapat pergi ‘oversea’ 14 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Bayar serendah RM14,000 untuk 14 hari percutian dan dibenarkan membuat pilihan percutian ke mana-mana negara di seluruh dunia.

Demikian pakej penipuan pelancongan ditumpaskan dalam serbuan di sebuah premis pejabat, di sini, 1 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan itu berjaya menahan 15 individu terdiri daripada 12 lelaki dan tiga wanita warga India telah diberkas.

Katanya, polis turut merampas 17 telefon bimbit dan pelbagai barang lain termasuklah 10 baucar pakej pelancongan, cop syarikat, komputer riba dan pelbagai barangan lain yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti penipuan.

“Dipercayai sindiket beroperasi sejak awal tahun ini menggunakan nama sebuah syarikat.

“Syarikat tersebut mempromosikan pakej pelancongan dan melakukan promosi melalui edaran risalah kepada warga asing,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Tambahnya, mangsa yang berminat perlu hadir ke syarikat terbabit untuk penerangan sebelum ditawarkan tiga pakej iaitu pakej RM50,000 untuk 50 hari percutian, pakej RM25,000 untuk 40 hari percutian dan pakej RM14,000 untuk 14 hari percutian.

Katanya, pelanggan yang berminat dibenarkan membuat pilihan percutian ke mana-mana negara di seluruh dunia.

“Semakan yang dilakukan dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapati syarikat tersebut tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai syarikat pelancongan.

“Sehingga kini, dua laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang tertipu dengan syarikat ini melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM14,000.

“Kesemua individu yang ditangkap sedang direman sehingga 20 Julai di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Dalam kes berlainan, pada 2 Julai, JSJK menyerbu sebuah premis kediaman di Cheras, Kuala Lumpur dan berjaya menahan tujuh warga tempatan termasuk tiga wanita membabitkan ahli sindiket along.

Kata Ramli, sindiket ini dipercayai beroperasi sejak tiga bulan lalu dan menyasarkan peminjam dalam kalangan warga tempatan.

“Sindiket ini mengiklankan pinjaman melalui Facebook dan peminjam yang berminat kemudiannya akan dihubungi melalui WhatsApp dengan tawaran pinjaman RM500 hingga RM10,000 serta faedah antara 10 hingga 15 peratus secara mingguan atau bulanan,” ujarnya.

Tegasnya, kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 30 tahun disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI