Program ‘Women to Women Sports Coaching Symposium 2024’ terus mengangkat golongan wanita ke tahap lebih baik dalam bidang sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebelum ini, golongan lelaki lebih sinonim dalam bidang sukan sama ada atlet atau jurulatih.
Namun, menerusi insentif daripada Institut Sukan Negara (ISN), ia membuka ruang lebih besar buat mereka yang mempunyai kelayakan untuk tampil menyumbang sesuatu.
“Penganjuran program ini dengan fokus utama bagi membina kapasiti jurulatih wanita dalam membentuk atlet mencapai prestasi sukan yang optimum.
“Ia mestilah mengikut aplikasi sains dan perubatan, kejurulatihan sukan yang melibatkan jurulatih-jurulatih wanita khasnya.
“Program ini juga menuntut penglibatan jurulatih wanita dalam sukan prestasi tinggi, sukan massa, kecergasan dan rekreasi.
“Program ini bermatlamat memperkasakan golongan wanita dalam bidang sukan yang memfokuskan kepada pelbagai cabang ilmu seperti pendidikan, penyelidikan dan pembangunan sukan,” katanya.
Tambahnya, program berkenaan diharap dapat melahir, membentuk serta menambah bilangan jurulatih serta atlet wanita berpotensi, berbakat serta terlatih di peringkat akar umbi dan tertinggi.
“ISN melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan juga memberi nilai tambah kepada pembangunan kejurulatihan melalui Modul Sukan Selamat secara online yang bertujuan memberi lebih kefahaman kepada jurulatih mengenai Kod Sukan Selamat yang dilancarkan 15 Mac tahun lalu.
“Selain itu, program itu bakal menampilkan pakar tempatan dan antarabangsa dalam bidang sains, perubatan dan kejurulatihan sukan di Malaysia.
“Ini sekali gus memberi peluang sangat berharga kepada semua peserta untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada pakar berkenaan,” katanya.
Hannah memaklumkan, bidang kejurulatihan dilihat berpotensi menjadi salah satu laluan kerjaya profesional terutama dalam kalangan wanita.
Ujarnya, program sedemikian turut menyediakan pelbagai platform latihan dan pembangunan profesional yang dibentuk khas.
Katanya, platform itu bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan wanita dalam bidang kejurulatihan dan kepimpinan sukan.