fbpx

Alleycats jadi ‘peledak’ Festival Atas Angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEHADIRAN band otai Alleycats dalam persembahan berskala besar berdurasi 15 jam tanpa henti itu dinanti ramai pencinta muzik tanah air.

FESTIVAL Atas Angin 2024 menjanjikan persembahan lebih gah apabila menghimpunkan 101 penyanyi, band dan DJ yang bakal beraksi selama 15 jam tanpa henti.

Berikutan sambutan menggalakkan tahun lalu, edisi yang dijadualkan pada 3 Ogos depan mengekalkan Rooftop@7 MyTown sebagai lokasi acara dengan membuka lima pentas.

Undang Alleycats

Pengarah Projeknya, Arif Imran berkata, acara kali ini juga istimewa apabila mereka mengundang kumpulan legenda, Alleycat memanaskan pentas bersama barisan pemuzik indie, sekali gus menarik pelbagai lapisan penonton.

“Inilah uniknya Festival Atas Angin apabila saban tahun ada kelainan bahkan menunjukkan seni tiada syarat apabila barisan penggiat muzik tidak kira indie, ‘mainstream’ serta legenda bersatu.

“Usaha membawa grup otai ini juga sangat senang. Saya telefon dan mereka bersetuju sebab persembahan hanya di Kuala Lumpur.

“Pembabitan band ikonik seperti Alleycats diyakini mampu menarik golongan senior untuk sama-sama hadir selain mengajak mereka untuk mengikuti aksi penyanyi generasi baharu,” katanya selepas majlis pengumuman festival itu baru-baru ini.

Selain Alleycats, pemuzik lain terdiri daripada Amir Jahari, Aizat Amdan, 6ixth Sense, Bittersweet, Hyper Act, Budak Nakal Hujung Simpang, Estranged, IamNEETA, Iqbal M, Skudap Skudip dan Kyoto Protocol.

Hanya pemuzik lokal

Tetap kekal dengan misi memartabatkan pengkarya tempatan, Arif berkata industri muzik sebenarnya ada banyak bakat besar yang wajar diraikan.

“Misi mengangkat band indie serta penyanyi tempatan menerusi acara ini tidak pernah terpesong, jadi kami rasa tiada keperluan mengundang pemuzik luar.

“Pada masa sama penganjuran festival ini bukanlah semata-mata berasaskan keuntungan tetapi sebagai platform untuk peminat dan penggemar muzik berkumpul.

“Jadi semua faham tujuan kami merealisasikan festival ini sekali gus beri sokongan padu. Kami impikan Festival Atas Angin akan menjadi penganjuran festival indie terbesar di Asia Tenggara,” ujarnya.

Kapasiti 8,000 penonton

Menurutnya lagi, tapak terbuka di atas pusat beli-belah tersebut mampu menampung lebih 8,000 penonton sepanjang festival berlangsung seawal pukul 9 pagi.

“Lima pentas akan dibuka serentak tetapi tidak akan mengganggu persembahan antara penyanyi selain mengikut jadual giliran yang sudah dipersetujui semua,” ujarnya.

Jualan tiket kini berada di fasa ketiga dan kepada yang masih belum membeli tiket boleh dapatkan di laman sesawang www.atasangin.com.

Tiket ditawarkan pada harga serendah RM159 bagi tiket solo, RM300 (duo) serta RM556 (berempat).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI