BEIJING – Seorang lelaki ditahan selepas cuba menyeludup lebih 100 ekor ular hidup menuju ke China dengan meletakkan reptilia tersebut di dalam seluarnya, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Penumpang yang identitinya tidak didedahkan itu diberkas ketika mahu meninggalkan Hong Kong untuk menuju memasuki ke bandar Shenzen di tanah besar China.
Dia ditahan oleh pengawal-pengawal keselamatan lapangan terbang ketika berjalan melalui pintu ‘tiada pengisytiharan’.
Agensi kastam China berkata, anggota-anggotanya menemui beberapa paket yang ditutup pita pelekat di dalam poket seluar suspek.
Paket-paket itu mengandungi 104 ekor ular kesemuanya.Ia terdiri daripada pelbagai spesies termasuk ular susu dan ular jagung dengan kebanyakannya bukan spesies asal Hong Kong atau China.
“Setelah diperiksa, pegawai kastam mendapati poket seluar penumpang tersebut dipenuhi dengan enam beg bertali kanvas.
Sebaik dibuka, setiap beg didapati mengandungi ular hidup dalam pelbagai bentuk, saiz dan warna,” kata kastam China.Peraturan biosekuriti dan kawalan penyakit yang ketat melarang sesiapa sahaja membawa masuk spesies ular bukan tempatan ke China tanpa kebenaran. – AGENSI