PUTRAJAYA – Pasangan suami isteri pempengaruh popular direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki terbabit dalam isu penyelewengan dana derma awam.
Perintah reman selama empat hari sehingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Pasangan tersebut berusia 30 dan 26 tahun.
Terdahulu, ketika diiringi pegawai SPRM pukul 9.19 pagi, pasangan tersebut kelihatan tenang dan hanya tersenyum ketika pihak media merakam gambar mereka.
Suspek lelaki kemudian sempat menyapa pihak media dengan memberikan salam.
“Assalamualaikum” kata lelaki itu.
Peguam Abd. Rahim Ali yang mewakili pasangan suami isteri itu ketika ditanya berhubung penyelewengan kutipan derma, beliau menafikan perkara tersebut.
“Kalau tanya saya tidak samalah…lainlah, dua anak guam saya ditahan bukan membabitkan penyelewengan kutipan bantuan, sebaliknya kes salah guna kuasa mengikut Seksyen 23(1) akta itu.
“Oleh itu, kami membuat bantahan, sebab tak kena dengan Seksyen yang dipohon oleh SPRM, hakikatnya mereka bukan seorang penjawat awam,” kata peguam itu.
Pasangan itu dan dua lagi lelaki yang turut drieman kemudian keluar dari mahkamah pada pukul 12.45 tengahari.
Terdahulu, suspek lelaki memaklumkan, dia berada dalam keadaan sihat semasa dibawa anggota SPRM untuk ke tandas.
“Alhamdulillah, saya dalam keadaan sihat…mohon doa yang baik-baik,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri yang juga pempengaruh ditahan SPRM pukul 6.40 petang.
Sebelum ini pempengaruh terbabit menerusi peguamnya menafikan semua dakwaan berkaitan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Pasangan suami isteri itu turut menegaskan dia dan suaminya tidak pernah menggunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi. – KOSMO! ONLINE