SETELAH menempuh penerbangan selama 7 jam 40 minit dari Kuala lumpur, saya tiba di bumi Kazakhstan.
Apabila semua urusan imigresen selesai, saya menaiki Yandex Go (perkhidmatan teksi) dari airport ke bandar Almaty dengan kos KZT2,570 (RM27.98).
Saya turun di Baitursynov St. untuk ke pejabat agensi pelancongan K.K.Tour.
Di situ, saya menempah pakej ‘day tour’ berharga KZT13,000 (RM138.84) yang akan digunakan nanti.
Kemudian, saya berjalan kaki lebih kurang 2 kilometer (km) untuk ke Golden Square Hostel dan tinggal semalaman dengan harga KZT4,950 (RM53.90).
Pada hari kedua, saya jalan kaki ke Astana Square dan Ascension Cathedral. Menarik tentang Ascension Cathedral, bahagian luar katedral Ortodoks Russia ini diperbuat daripada kayu tanpa paku.
Setelah puas jalan-jalan, saya meneruskan pengembaraan dengan menaiki Yandex Go ke Medeu Cable Car di Shymbulak dengan harga KZT2,430 (RM26.48).
Saya beli tiket kereta kabel ke tiga stesen dengan harga KZT5,000 (RM54.49). Saya turun di setiap stesen untuk menikmati pemandangan gunung Kazakhstan yang sangat memukau.
Tak sangka, tidak terasa hampir satu jam saya menghabiskan masa di stesen-stesen tersebut.
Kemudian, saya menaiki bas bernombor 12 untuk kembali ke hotel.
Saya singgah di kedai makan untuk menikmati juadah terkenal di situ iaitu nasi lauk daging kuda berharga KZT3,000 (RM32.30).
Kemudian, saya tempah Yandex Go untuk ke stesen bas Sayran KZT1,430 (RM15.63). Di sana, saya beli tiket bas ke Bishkek, Kyrgyzstan berharga KZT3,200 (RM34.40).
Perjalanan mengambil masa selama lima jam sebelum sampai di sempadan antara Kazakhstan dan Kyrgyzstan.
Setiba di stesen bas Bishkek, Kyrgyzstan, saya menukar duit ke mata wang negara berkenaan iaitu (SOM) di ‘money changer’ berdekatan.
Saya tinggal satu malam di Wakeup Hostel yang berharga SOM518 (RM27.97).
Keesokannya, saya bangun awal untuk melawat Ala Archa National Park bersama pemandu tempatan, Mr. Tangai. Harga tiket untuk masuk ke Ala Archa National Park adalah berjumlah SOM700 (RM37.65) seorang.
Pemandangan sepanjang perjalanan ke air terjun sungguh cantik dengan trek mendaki tidak begitu sukar.
Saya menghabiskan masa lebih kurang dua jam di situ sebelum Mr. Tangai menghantar saya di Osh Bazaar.
Kemudian, saya berjalan kaki ke stesen bas Bishkek untuk kembali ke sempadan Kyrgyzstan dan Kazakhstan.
Setiba di stesen bas Sayran, saya menggunakan Yandex Go ke Golden Square Hostel untuk ‘check in’ selama dua malam.
Keesokannya, saya menaiki Yandex Go untuk ke lokasi tempat perjumpaan ‘day tour’ yang saya beli sebelum ini.
Saya menyertai kumpulan pelawat lain untuk melihat lima kawasan terkenal di Almaty.
Kami melawat Charyan Canyon, Lake kolsai, Black Canyon, Moon Canyon dan River Charyn.
Kesemua kawasan ini memaparkan panorama yang sungguh menakjubkan.
Uniknya di Moon Canyon, pengunjung boleh bergambar dengan burung helang dengan memakai pakaian tradisional Kazakhstan. Pada hari terakhir di Almaty sebelum pulang ke Malaysia, saya menaiki Yandex Go untuk pergi ke Green Bazaar.
Green Bazaar lebih kurang macam pasar biasa. Bahagian atas merupakan tempat menjual barang basah, sebelah bawah pula kawasan jual buah-buahan, sementara bahagian tepi, tempat jual pakaian dan cenderamata.
Kemudian, saya berjalan kaki lebih kurang 1 kilometer untuk ke Almaty Central Mosque.
Sesiapa yang mahu bersolat di sini, anda perlu ambil wuduk di luar masjid.
Selesai solat jamak zuhur dan asar, saya berjalan-jalan di sekitar Ascension Cathedral sebelum ke lapangan terbang untuk kembali ke tanah air.