NEW ORLEANS, LOUISIANA – Sebuah rumah agam yang penuh dengan kisah ngeri di New Orleans, Louisiana diiklankan untuk dijual pada harga AS$10.25 juta (RM48.22 juta), lapor akhbar New York Post kelmarin.
Bangunan bersejarah dinamakan Lalaurie itu menjadi tarikan kepada ramai pemburu aktiviti paranormal di bandar tersebut.
Rumah berkeluasan 929 meter persegi dengan lapan bilik tidur itu telah diubah suai oleh pemilik sebelum ini, yang memberikan sentuhan moden kepada binaan berasal pada tahun 1830-an itu.
Menurut laporan, struktur asalnya musnah dalam satu kebakaran pada 1834, sekali gus membongkarkan pelbagai peristiwa mengerikan dan pembunuhan bersiri yang berlaku di situ.
Pemilik asal, Delphine Macarty Lalaurie dan suaminya, Dr. Louis Lalaurie, dikatakan menyeksa hamba-hamba termasuk membiarkan mereka mati kelaparan dengan keadaan mayat dirantai.
Mereka yang menyaksikan kejadian-kejadian ngeri itu kemudian memusnahkan sisa rumah yang hangus sebelum keluarga Lalaurie menjual hartanah tersebut pada tahun 1837, lapor laman berita Journal. – AGENSI