fbpx

K2

Cara berpuasa hari Asyura menyelisihi Yahudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAT Islam digalakkan berpuasa pada hari Asyura iaitu 10 Muharam. – Gambar hiasan

Sekiranya saya sudah berpuasa pada 10 Muharam iaitu hari Asyura, adakah saya juga perlu berpuasa pada hari selepasnya?

Jawapan: Muharam memang tidak dinafikan sebagai satu bulan yang mulia. Terdapat banyak nas-nas dalam al-Quran dan sunah yang menyebut berkenaan kelebihan bulan ini.

Justeru, bagi menjawab persoalan yang diajukan, kami nyatakan beberapa perkara seperti berikut:

Di antara kelebihan bulan ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah berdasarkan firman Allah SWT yang berikut:

Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak 12 bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan bumi.

Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus, maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut. (Surah al-Taubah, 36)

Rasulullah SAW telah memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut.

Sabda Baginda: Dalam setahun itu ada 12 bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadilakhir dan juga Syaaban. (Riwayat al-Bukhari, 184)

Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharam adalah memperbanyakkan berpuasa sunat.

Demikian juga terdapat sebuah hadis yang menceritakan berkenaan seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadan?

Maka jawab Baginda SAW: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadan, maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. (Riwayat al-Tirmizi, 741)

Berdasarkan kepada dua hadis di atas, terdapat dua kelebihan yang terdapat pada bulan Muharam. Ia seperti berikut: Muharam disebut sebagai bulan Allah yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah, maka ia menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah dan seumpamanya.

Muharam adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadan. Walaupun berpuasa pada sepanjang bulan Muharam adalah digalakkan, akan tetapi terdapat nas khusus yang menceritakan berkenaan kelebihan berpuasa pada 10 Muharam iaitu hari Asyura.

Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat berikut:

Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

Berpuasa pada hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Ibn Majah, 1738)

Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas R. Anhuma yang berkata: Rasulullah SAW datang ke Madinah dan kemudian Baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu Baginda berkata:

“Apakah ini?” Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut.

Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu.”

Maka, Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu. (Riwayat al-Bukhari, 2004)

Kedua-dua hadis di atas jelas menunjukkan bahawa puasa pada hari Asyura adalah diperintahkan kepada umat Muhammad SAW dan hukumnya adalah sunat.

Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharam, akan tetapi kita juga diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum atau hari selepasnya.

Ini bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal.

Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya. (Riwayat Ahmad, 2154)

Kesimpulan, kami menyatakan bahawa disunatkan untuk berpuasa pada 9 Muharam atau pada 11 Muharam beserta puasa hari Asyura dengan tujuan untuk menyelisihi serta berbeza dengan golongan Yahudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI