fbpx

MIMF 2024 sasar nilai transaksi RM5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chong Chong Tik (depan, dua dari kanan) pada majlis pelancaran awal MIMF 2024 di MITEC, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF) 2024 mengunjurkan transaksi dagangan selama tiga hari program tersebut yang bermula hari ini mencecah kepada RM4 bilion hingga RM5 bilion tahun ini.

Pengarah Urusan ES International Event Management Sdn. Bhd. (ES), Datuk Chong Chong Tik berkata, berbanding tahun lalu, MIMF yang kini telah memasuki tahun ke-35 penganjurannya telah merekodkan transaksi dagangan sebanyak RM3 bilion.

ES adalah syarikat utama yang menganjurkan MIMF dan pa­meran tersebut adalah tertua dianjurkan di negara ini sejak dimulakan pada tahun 1989.

Menurut beliau, keyakinan untuk mencapai nilai transaksi tersebut dipacu oleh permintaan tinggi daripada perusahaan kecil dan sederhana serta pengilang utama untuk mendapatkan pelbagai jentera dan mesin baharu untuk meningkatkan keupayaan selain menambah kapasiti pengeluaran syarikat masing-masing.

Tambah beliau, permintaan tinggi dilihat bakal diperoleh daripada segmen pemprosesan makanan dan minuman serta pembungkusan produk.

“Pameran kali ini melibatkan pempamer yang menawarkan pelbagai mesin, jentera dan perkakasan elektrik berteknologi tinggi seiring dengan perubahan ekonomi semasa yang memerlukan jentera cekap tenaga, masa dan pintar bagi menyumbang kepada pertumbuhan hasil syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran awal MIMF di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Turut diadakan adalah pe­meteraian memorandum persefahaman antara ES dengan Sumec International Technology Co Ltd.

MIMF bakal melibatkan lebih daripada 800 pempamer dengan menguasai lima dewan utama di MITEC yang mana dijangkakan lebih daripada 10,000 pengunjung sepanjang program tersebut berlangsung.

“Sejumlah 85 peratus daripada pempamer adalah syarikat dari China, manakala bakinya di wakili oleh syarikat tempatan.

“Ini adalah penyertaan terbesar pempamer dari China seiring dengan kerjasama kukuh antara dua negara sei­ring dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China dan Malaysia,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI