JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan seorang wanita menunggang skuter sambil berdiri sehinggakan dia nyaris dilanggar sebuah lori tangki, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman sosial, wanita memakai jubah berwarna hijau itu dilihat berdiri di tempat letak kaki skuter dan tidak memakai topi keledar.
Apabila tiba di sebuah simpang, dia membelok ke kiri tanpa melihat kenderaan dari arah kanan.
Serentak dengan itu, sebuah lori tangki meluru laju ke arah wanita tersebut dan nyaris merempuhnya.
Dia kemudian meneruskan perjalanan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku dan tetap berdiri di atas skuter.
Kejadian itu berlaku di daerah Pati, wilayah Jawa Tengah.
Menurut ketua polis tempatan, Asisten Komisioner Polis Ali Mahmudi, wanita yang hanya dikenali sebagai T dan berumur 40 tahun itu kerap kali menunggang skuter sedemikian rupa sebelum ini.
“Dia mengalami masalah kesihatan mental. Polis pernah menahan wanita ini dan menyerahkan dia kepada keluarganya.
“Dia juga sudah beberapa kali menunggang motosikal sambil berdiri. Dia membawa motosikal milik keluarga atau jirannya,” kata Ali.
Keluarga wanita tersebut telah dimaklumkan mengenai kejadian terbaharu itu. – AGENSI