fbpx

Lima jam baru sampai Langkawi, feri rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Feri membawa 163 penumpang dari Kuala Kedah yang terkandas ketika dalam perjalanan ke Langkawi, petang semalam.

ALOR SETAR – Seramai 163 penumpang feri yang mahu ke Langkawi terpaksa berlayar selama kira-kira lima jam apabila pengangkutan itu mengalami kerosakan pada enjin berdekatan Terminal Feri Kuala Kedah, dekat sini pada petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu berlaku ketika feri baru sahaja berlepas dari terminal di Kuala Kedah tersebut menuju Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi.

Feri berkenaan terkandas di perairan sekitar 7.5 batu nautika dari terminal yang didakwa berpunca daripada kerosakan dua enjin yang terhenti secara mengejut.

Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, insiden itu berlaku hanya beberapa minit selepas feri berlayar dari terminal di Kuala Kedah.

“Kakitangan teknikal dapat membaiki satu enjin dan feri dapat berfungsi semula. Pihak pengurusan seterusnya berbincang dengan pelbagai pihak sama ada perlu berpatah balik ke Kuala Kedah atau meneruskan perjalanan ke Langkawi menggunakan satu enjin.

“Ia kerana pada waktu sama, paras air di Kuala Kedah cetek di bawah 1.2 meter dan tidak selamat untuk perjalanan yang memungkinkan feri berisiko tinggi tersangkut pada beting pasir,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, sekiranya feri berpatah balik ke Kuala Kedah, feri berkenaan dijangka tiba di Langkawi kira-kira pukul 2.30 pagi berikutan air laut di Kuala Kedah hanya mula pasang pada pukul 12 tengah malam.

“Apabila air sudah pasang baru boleh guna feri gantian. Disebabkan itu, pihak pengurusan memutuskan feri perlu meneruskan pelayaran ke Langkawi menggunakan satu enjin dengan kelajuan 9.6 knot dan selamat tiba di Terminal Feri Langkawi pada pukul 11.44 malam tadi,” katanya.

Tambahnya, sepanjang pelayaran menggunakan satu enjin, feri diiringi bot penunda sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian yang boleh membahayakan penumpang.

“Kita amat menitikberatkan kebajikan penumpang termasuk mengagihkan makanan dibawa bot penunda dari Kuala Kedah. Makanan diagihkan sekali lagi kepada penumpang sejurus mereka tiba di terminal di Langkawi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI