fbpx

Kerap terjatuh di tempat kerja sebelum lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAITUN bersama anaknya, Muhammad Azizul yang terlantar akibat penyakit saraf ketika ditemui di rumahnya di Rumah Sewa Sani, Benut, Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Seorang ibu tunggal buntu memikirkan nasib keluarga­ selepas anak lelaki yang menjadi tempat bergantung diuji dengan masalah kesihatan apabila disahkan menghidap pe­nyakit saraf.

Disebabkan penyakit itu, Muhammad Azizul Shahrin Mohd. Amin, 28, kini terlantar atas katil dengan kedua-dua belah kakinya lumpuh.

Menurut Zaitun Hamzah, 60, pada peringkat awal anaknya yang bekerja sebagai pembantu kedai sering mengadu sakit urat dan kerap terjatuh di tempat kerjanya di Pekan Parit Betak di sini.

“Selepas Aidilfitri lalu, saya bawa anak ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk me­lakukan pemeriksaan. Doktor beritahu dia ada masalah saraf.

“Doktor kemudian melakukan pembedahan pada bahagian saraf tengkuk kerana tulang bahagian itu menekan saraf menjadi punca dia kerap terjatuh.

“Hampir sebulan dia dirawat di HSNI sebelum dibenarkan pulang pada 30 Mei lalu, namun masih perlu menjalani rawatan susulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Sewa Sani, Jalan Parit Betak, Benut di sini baru-baru ini.

Setakat ini, anak ketiga daripada empat beradik itu sudah empat kali dirujuk ke HSNI menggunakan ambulans swasta dengan kos RM280 bagi sekali perkhidmatan.

Zaitun berkata, sebelum ini anaknya itu menyara keluarga dengan gaji RM1,000 hingga RM1,200 sebulan.

“Duit gaji itu kami guna untuk membayar sewa rumah seba­nyak RM300, bil utiliti dan perbelanjaan harian. Saya buntu mana hendak cari duit untuk tampung kehidupan. Tiga lagi anak sudah berkeluarga dan ada tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Zaitun memberitahu, dia menggunakan duit simpanannya yang tidak seberapa selain sumbangan orang ramai serta badan bukan kerajaan untuk meneruskan hidup.

Orang ramai ingin membantu boleh menghubungi Zaitun di talian 019-8392130 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0100741100012083 atas nama Zaitun Hamzah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI