fbpx

Jovian diarah bayar RM10 juta buat ‘friendly loan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jovian Mandagie

KUALA LUMPUR – Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie diperintahkan untuk membayar RM10 juta kepada dua syarikat selepas gagal membayar dua pinjaman persahabatan (fiendly loan) atas jumlah sama.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin memutuskan demikian dalam penghakiman terus beliau bertarikh 2 dan 4 April lalu yang antara lain memerintahkan Jovian membayar RM5 juta masing-masing kepada syarikat Cekap Air Sdn. Bhd. dan Bina Pragmatik Sdn. Bhd..

Sesalinan penghakiman itu dilihat media hari ini. Semakan dengan firma guaman, Tetuan Saiful, Roger & Co. yang mewakili kedua-dua syarikat terbabit mengesahkan penghakiman tersebut.

Difahamkan Jovian yang juga bekas menantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri telah memfailkan rayuan terhadap penghakiman terus itu pada 30 April lalu.

Mengikut penyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, Jovian merupakan kenalan kepada pengarah syarikat Cekap Air, Yong Zhen Wei dan pengarah Bina Pragmatik, Azirul Salihin.

Pada 25 Februari 2022, Cekap Air telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian yang dinamakan sebagai defendan tunggal atas permintaan lisan pereka fesyen itu dan atas dasar pinjaman persahabatan.

Pinjaman tersebut telah didepositkan ke akaun pelanggan sebuah firma guaman yang mewakili Jovian. Firma guaman itu telah mengesahkan penerimaan wang tersebut atas arahan defendan.

Bina Pragmatik pula telah meminjamkan wang RM5 juta kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dan turut memindahkan wang tersebut ke akaun pelanggan firma guaman yang sama mewakili pereka fesyen itu.

Kedua-dua plaintif menyatakan bahawa pinjaman persahabatan itu perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Pinjaman tersebut diberikan diberikan dan dilakukan secara lisan dan kasual memandangkan kesemua plaintif dan defendan merupakan kenalan dan tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana lelaki berkenaan mempunyai beberapa perniagaan lain serta menantu kepada Ismail.

Plaintif juga menyatakan, Jovian tidak pernah menafikan atau mempertikaikan bahawa wang tersebut telah dipinjamkan oleh plaintif kepadanya.

Bagaimanapun, selepas diserahkan notis tuntutan bertarikh 5 April 2023 kepada defendan dan juga firma guaman yang mewakilinya, Jovian masih gagal, enggan atau cuai untujk membayar semula keseluruhan atau sebahagian pinjaman tersebut.

Tindakan itu telah menyebabkan kedua-dua plaintif mengalami kerugian.

Pada awal Mei lalu, Jovian melalui laporan media mengumumkan untuk menutup operasi Jovian Mandagie Couture dan Jovian Ready To Wear (Jovian RTW) selepas 17 tahun beroperasi dalam industri fesyen.

Pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie mengumumkan dia dan isterinya, Nina Ismail Sabri sudah bercerai sejak Ogos lalu.

Jovian berkahwin dengan Nina Sabrina yang merupakan anak perempuan tunggal Ismail yang juga kakak kepada penyanyi Dafi pada 11 Disember 2013. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Jeanelle Nika Mandagie namun bercerai pada Ogos 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI