fbpx

‘Isteri boleh cerai satu lafaz, hubungan dengan anak sampai mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuk enggan terlalu bercerita tentang masalah dan kebahagiaan rumah tangga di media sosial.

PETALING JAYA – Pelawak sensasi, Shuk Sahar menyifatkan media sosial bukan platform terbaik untuknya berkongsi tentang perihal rumah tangga seperti yang dilakukan individu lain.

Menurut Shuk atau nama sebenarnya, Mohamad Shukri Mohamed Sahar, 38, itu merupakan prinsip yang dipegangnya sejak perkahwinan pertama sehingga hari ini.

“Prinsip saya sejak dulu adalah media sosial bukan medium terbaik untuk kongsi mengenai rumah tangga.

“Boleh nampak saya tidak bercakap mengenai bekas isteri meskipun ketika itu hubungan kami baik atau tidak,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Katanya, berkongsi kepada umum tentang rumah tangga termasuk masalah mahupun kebahagiaan sendiri ibarat membuka ruang untuk orang ramai melemparkan pelbagai persepsi negatif.

“Kongsi cerita dalam media sosial umpama buka ruang untuk netizen mengata semula. Tanpa sedar, kita sendiri beri peluang untuk wujudkan buli siber.

“Apabila terlalu banyak berkongsi dan netizen ambil tahu, kita kena terima apa sahaja komen mereka. Jadi, lebih baik tidak kongsi apa-apa,” katanya lagi.

Berkongsi tentang hubungan dengan bekas isteri, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dan dua anaknya, Shuk berkata, semuanya dalam keadaan baik.

Ujarnya, dua anaknya, Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assiyfatu Aimi, 5 kini menetap di Sabah serta sudah bersekolah di sana.

“Saya bersyukur kami ambil keputusan meneruskan haluan masing-masing dan anak-anak masih baik dengan saya.

“Yuran sekolah, perbelanjaan dan nafkah masih di bawah tanggungjawab saya, kami setuju secara baik.

“Kalau isteri, kita boleh dipisah dengan satu lafaz, tapi hubungan dengan anak-anak sampai mati,” ujarnya.

Terdahulu, Shuk berkahwin kali kedua dengan wanita pilihannya iaitu Fara Salleh pada November tahun lalu dalam majlis pernikahan sederhana yang dihadiri keluarga terdekat.

Shuk sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial, Rossa Sera pada 2015 dan mereka dikurniakan dua anak perempuan.

Bagaimanapun disebabkan kontroversi kecurangan yang menghambat Shuk, membuatkan mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 22 Mac tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI