PETALING JAYA – Grab Malaysia melancarkan GrabScholar hasil kerjasama bersama Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan GoBarakah sebagai proses mendemokrasikan pendidikan dengan menawarkan biasiswa serta bantuan kewangan kepada lebih 300 pelajar di negara ini.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, pendidikan adalah pemangkin yang penting untuk mobiliti antara generasi dan transformasi masyarakat.
“Dengan pengenalan GrabScholar, kami memperkukuhkan komitmen untuk memberdayakan semua rakyat Malaysia.
“Melalui GrabScholar, kami ingin membantu mereka yang memerlukan dengan memberikan bantuan serta menawarkan peluang untuk meningkatkan status sosio-ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai kerjasama strategik dengan YTAR, beliau berkata, GrabScholar akan menyediakan biasiswa universiti untuk pelajar di peringkat ijazah khususnya dalam bidang kelestarian, perniagaan dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di semua universiti awam seluruh negara.
“Biasiswa ini merangkumi yuran pengajian penuh, elaun, peluang latihan industri serta program pembangunan kepimpinan unik selama dua tahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YTAR, Ida Thien berkata, pihaknya sangat gembira bekerjasama dengan Grab Malaysia menerusi inisiatif GrabScholar.
“Kami percaya bahawa untuk negara benar-benar berkembang, perlu ada masyarakat yang adil dan pelbagai.
“Kerjasama ini membolehkan kami memberdayakan lebih banyak belia berpotensi tinggi dan layak dengan kemahiran, sumber, serta ketahanan untuk membentuk masa depan yang lebih baik untuk diri mereka, komuniti mereka, dan Malaysia,” ujarnya.
Selain membantu golongan mahasiswa, GrabScholar melalui GoBarakah akan memberikan bantuan kewangan kepada 300 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara bagi mengurangkan beban kepada keluarga penerima.
Pengasas Bersama di GoBarakah, Azrin Ajib berkata, program bursary tersebut membolehkan pihaknya memperluaskan jangkauan dan membantu lebih banyak keluarga dalam mengurangkan beban kewangan pendidikan yang ditanggung.
Dalam kenyataan sama, Grab Malaysia menjelaskan tujuan penubuhan GrabForGood Fund adalah selaras dengan misi keseluruhan Grab untuk mendorong pemberdayaan ekonomi di negara ini dengan menyumbang kepada usaha menangani isu ketidakseimbangan, akses, dan perubahan iklim seluruh rantau.
Tarikh tutup permohonan untuk Biasiswa Universiti GrabScholar adalah pada 22 Julai 2024, manakala permohonan untuk bantuan bursary sekolah akan dibuka sehingga 31 Julai 2024.
Untuk maklumat lanjut mengenai GrabScholar, termasuk butiran mengenai setiap inisiatif dan prosedur permohonan, sila lawati: grb.to/GrabScholar-MY – KOSMO! ONLINE