SEBERANG PERAI – Gas Malaysia Bhd. (Gas Malaysia), ahli kumpulan MMC berdiri teguh dalam memperkukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian tenaga inovatif menerusi teknologi gabungan haba dan kuasa (CHP).
Sistem CHP yang juga dikenali sebagai penjanaan haba dan kuasa cogeneration, berfungsi sebagai penjana bagi kedua-dua elektrik dan haba daripada satu sumber bahan api.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap berkata, teknologi berkenaan amat bermanfaat untuk pelanggan sektor perindustrian yang memerlukan kedua-dua tenaga elektrik dan haba seperti wap atau air panas.
“Gas Malaysia Energy Advance Sdn. Bhd. (GMEA) turut menjalinkan usaha sama antara Gas Malaysia dan Tokyo Gas Engineering Solutions Coorporation (TGES) bagi menerajui industri CHP.
“GMEA mengendalikan tiga loji dengan kapasiti gabungan untuk menjana 41.7 megawatt elektrik, 165 tph (tons per hour) stim, dan 1,684 kilowatt air panas, dengan potensi mengurangkan kira-kira 72,261 tan karbon dioksida setahun,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ia susulan lawatan kerja penganalisis dan pengamal media ke kilang CHP Gas Malaysia di Perai, yang bertujuan untuk memberikan gambaran berhubung perjalanan teknikal loji berkenaan dalam menjana elektrik dengan cekap menerusi penangkapan haba buangan yang dikitar semula bagi menghasilkan haba berguna.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem CHP dijangka memberikan sumbangan signifikan, sekali gus mencapai matlamat kelestarian buat persekitaran dan juga pelanggan.
Katanya, usaha itu bertepatan dalam memupuk masa depan yang lebih hijau, sekali gus ke arah pengurangan jejak karbon bagi meningkatkan kelestarian alam sekitar.
“Kami berbesar hati untuk mempamerkan kilang ini bukan sahaja kepada pengamal media dan rakan penganalisis, malah lawatan kerja ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang perniagaan kami sekali gus memperolehi input yang lebih tepat berhubung CHP.
“Selain itu, ia membolehkan kami menangani sebarang ketidakpastian yang berbangkit berhubung perjalanan penjanaan CHP ini sejajar dengan jangkaan pemegang taruh,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Gas Malaysia, Kamarul Ariffin Ibrahim yang mengiringi wakil media berkata, pihaknya memiliki tiga loji iaitu dua di Perai dan satu di Shah Alam, Selangor.
“Lawatan kerja yang dijalankan hari ini memberi sedikit penerangan tentang bagaimana pihak kami menjalankan dan menguruskan operasi loji di sini,” katanya.
Strategi perniagaan 10 tahun Gas Malaysia, yang juga dikenali sebagai GM32, disusun untuk memupuk pertumbuhan mampan jangka panjang bagi memastikan perniagaan dan operasi syarikat berkembang dengan cara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, sambil mengekalkan daya maju ekonomi.
Usaha CHP adalah komponen utama dalam strategi ini, memandangkan ia mengambil peluang daripada permintaan industri yang semakin meningkat ekoran peralihan pandangan entiti perniagaan yang semakin mengiktiraf manfaat alam sekitar. – KOSMO! ONLINE