fbpx

Dua beradik maut lemas hidu asap, ibu kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEBAKARAN yang berlaku di bangunan rumah kedai di Jalan Plaza Mahkota, Banda Hilir meragut nyawa dua beradik, manakala ibunya kritikal. -foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Dua beradik maut, manakala ibu mereka pula kritikal selepas terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah bangunan kedai tiga tingkat di Plaza Mahkota, di sini, hari ini.

Mangsa, Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan adiknya, Nur Riaisha Zahra, 2, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kebakaran disedari pukul 1.30 tengah hari oleh pemilik kedai di tingkat bawah yang kemudian  menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, kebakaran berlaku di tingkat satu dan turut disaksikan oleh pasangan suami isteri yang berada di dalam bilik sewa di tingkat dua.

“Suami isteri itu melihat asap tebal masuk ke dalam bilik dan segera menyelamatkan diri sebelum dibawa ke Hospital Melaka.

“Hasil pemeriksaan dalam bangunan, bomba mengesan dan mengeluarkan tiga mangsa iaitu dua kanak-kanak dan ibu mereka yang terperangkap di tingkat tiga. Tiga beranak itu dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, dua beradik itu kemudiannya disahkan meninggal dunia dipercayai akibat terhidu asap tebal kebakaran, manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, kritikal.

Hasil soal siasat saksi memaklumkan tingkat satu sehingga tiga premis itu mempunyai beberapa buah bilik sewa, namun penyewa lain dipercayai keluar bekerja semasa kejadian.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Mohd. Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 1.33 tengah hari dan jentera dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus menerima maklumat, kita menggerakkan 40 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian dan sehingga kini kerja pemadaman masih dijalankan.

“Kita percaya mangsa mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal. Pasukan menghadapi kesukaran memadam kerana api merebak selain setiap tingkat bangunan dipenuhi asap,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambahnya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI