KUALA LUMPUR – Dadah dibungkus dalam pek gula-gula getah dipercayai untuk dipasarkan di pusat hiburan antara RM5.02 juta bahan terlarang itu yang dirampas dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Serbuan pada pukul 2.10 petang yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur itu sekali gus menumpaskan sindiket yang aktif sejak tiga bulan lalu.
Pengarah JSJN, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sebanyak tiga serbuan dilakukan di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Cheras, pangsapuri dan kondominium di Seri Kembangan, Selangor.
Dalam serbuan pertama pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 22 tahun ketika berada di belakang sebuah kereta Toyota Vios.
“Suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor mendapat upah RM6,000 sebulan, manakala penghantar pula diberi upah RM4,500,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Polis kemudian menyerbu dua stor penyimpanan dadah yang membawa kepada rampasan ketamin (9kg), ekstasi (7.5kg), pil erimin (4.5kg), gula-gula getah (3.5kg), kokain (1.6kg), syabu (485 gram), methylenedioxy-methamphetamine (165kg).
Kok Chin berkata, pangsapuri dan kondominium itu dijadikan stor penyimpanan dadah namun tidak diketahui jumlah bayaran sewa.
“Taktik sama turut dikesan apabila kenderaan digunakan bagi aktiviti jenayah tersebut menggunakan nama individu lain. Dadah yang dirampas dipercayai untuk pasaran Semenanjung.
“Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 120,000 penagih,” katanya.
Kedua-dua suspek direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-KOSMO! ONLINE.