fbpx

Dewan Rakyat: RM86.3 juta telah disalur untuk Kampung Angkat Madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amir Hamzah.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM86.3 juta telah disalurkan oleh kerajaan untuk program Kampung Angkat Madani di seluruh negara sejak program itu diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, secara keseluruhan kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi 42 buah Kampung Angkat Madani dengan agihan peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta bagi setiap kampung.

“Sehingga 10 Julai 2024, Kementerian Kewangan (MoF) telah menyalurkan RM86.3 juta kepada kementerian dan agensi yang terlibat meliputi 35 buah kampung yang telah dikenal pasti,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung matlamat utama pelaksanaan Kampung Angkat Madani berbanding dasar sedia ada.

Terdahulu, Amir Hamzah berkata, kriteria yang menjadi keutamaan pemilihan sesebuah Kampung Angkat Madani adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus.

Menurut beliau, kampung itu dikenal pasti mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus bagi melengkapkan keperluan kemudahan asas.

Jelas beliau, Kampung Angkat Madani bagi menentukan penanda aras terbaik dalam memastikan capaian liputan kemudahan dipertingkatkan melalui kaedah “Whole of Government”

Menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu), beliau menjelaskan, pelaksanaan program Kampung Angkat Madani berbeza dengan program dibawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)

Ujar beliau, Kampung Angkat Madani bagi membantu pembangunan di kampung terpilih melalui pendekatan holistik.

“Dalam usaha menyediakan infrastruktur asas kampung digalas pelbagai pihak berkepentingan dalam kerajaan dan melengkapi fungsi antara agensi secara silang dengan bantuan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Projek yang dijalankan tidak terhad kepada pembangunan fizikal, malah ia diperhebatkan dengan program sosial masyarakat luar bandar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI