fbpx

Dewan Rakyat: 465,924 pengguna telah daftar MyDigital ID

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MyDigital ID - Foto IHSAN MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan seramai 465,924 pengguna telah mendaftar MyDigital ID setakat pukul 5.30 petang semalam.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, jumlah mereka yang mendaftar MyDigital ID terbabit termasuk dalam kalangan penjawat awam.

“Bagi menggalakkan pendaftaran dalam kalangan penjawat awam, kios-kios pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 199 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI)

“Di samping itu, pihak MIMOS Berhad akan menyebarluaskan pelaksanaan MyDigital ID kepada pelbagai demografi rakyat Malaysia di bandar serta di luar bandar secara berfasa,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) berapa jumlah pengguna yang telah mendaftar MyDigital ID dan apakah strategi kerajaan untuk menggalakkan pendaftaran dalam kalangan penjawat awam.

Terdahulu, Gobind berkata, pelaksanaan MyDigital ID salah satu prakarsa kerajaan bagi memudahkan, melancarkan dan merancakkan urusan dalam talian.

Kata beliau, buat masa ini, MyDigital ID bukan satu kemestian atau mandatori kepada rakyat Malaysia, sebaliknya ia satu pilihan yang akan diintegrasikan dengan pelbagai aplikasi kerajaan dan swasta.

Menurut beliau, beberapa aplikasi kerajaan telah diintegrasikan antaranya membangunkan “use case” dengan aplikasi mudah alih (mobile), Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), aplikasi MySejahtera dan aplikasi mudah alih (mobile) MyJPJ.

“Integrasi MyDigital ID dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada bulan Ogos 2024.

“Perbincangan bagi pengintegrasian MyDigital ID dengan pihak swasta seperti sistem Touch n Go, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Akaun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sektor perbankan telah pun dimulakan,” katanya.

Tambah beliau, sebelum ini, pasukan MyDigital ID juga telah mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan syarikat penyedia perkhidmatan perbankan bagi memperluaskan penggunaan MyDigital ID dalam sektor perbankan dan urusan kewangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI