NEW JERSEY – Argentina berjaya mara ke perlawanan akhir Copa America pada edisi kali ini selepas menundukkan Kanada 2-0 di Stadium MetLife pagi semalam untuk selangkah lagi mempertahankan gelaran yang dimenangi sebelum ini.
Pada perlawanan itu, dua gol Argentina dijaringkan Julian Alvarez pada minit ke-22 sebelum kapten, Lionel Messi memastikan kemenangan muktamad menerusi jaringan kedua pada minit ke-51.
Ketua jurulatih La Albiceleste, Lionel Scaloni menyuarakan rasa gembira dan memuji aksi ditampilkan barisan pemainnya apabila berjaya mengekang asakan dilakukan Kanada sepanjang perlawanan itu.
“Ini adalah pencapaian yang boleh dibanggakan, saya menghargai sumbangan diberikan oleh semua pemain. Semua kerja keras yang kami lakukan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir.
“Kami sudah meletakkan penanda aras cukup tinggi sebelum ini, sudah tentu semua peminat meletakkan harapan besar kepada pasukan. Kanada juga membuktikan mereka adalah antara pasukan terbaik kali ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengakui lega apabila Argentina memiliki masa beberapa hari untuk mendapatkan rehat sebelum turun ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hard Rock 15 Julai ini.
“Sekarang kami ada masa beberapa hari untuk berehat dan itu sesuatu yang bagus kepada pasukan. Pemain-pemain berhak untuk berehat memandangkan mereka sudah bekerja keras sepanjang saingan kali ini,” ujar Scaloni.
Mengulas aksi yang ditampilkan Angel Di Maria pada kejohanan empat tahun sekali itu, beliau berharap semua peminat menghargai aksi ditampilkan pemain sayap tersebut memandangkan dia akan bersara sebaik Copa America berakhir.
“Semua orang tahu bahawa dia (Di Maria) akan menggantung but selepas kejohanan ini tamat. Buat masa sekarang, semua peminat perlu menghargai dan menikmati setiap aksinya di atas padang,” tambahnya. – AGENSI