CHARLOTTE – Colombia kini selangkah sahaja lagi untuk menjulang gelaran Copa America buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun selepas mengesahkan tempat ke pentas final edisi kali ini.
Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan berharga 1-0 ke atas bekas juara 15 kali, Uruguay dalam aksi separuh akhir yang berlangsung penuh tegang dan dramatik di Stadium Bank of America sebentar tadi.
Apa tidaknya, Colombia terpaksa bermain dengan 10 orang dalam baki 45 minit terakhir selepas pemain pertahanannya, Daniel Munoz dilayangkan kad merah di penghujung babak pertama.
Situasi itu menyebabkan Colombia terpaksa bermain secara lebih defensif dalam babak kedua untuk mempertahankan gol mereka yang disudahkan oleh Jefferson Lerma hasil hantaran daripada James Rodriguez pada minit ke-39.
Biarpun melepaskan penguasaan bola kepada Uruguay yang menguasai 62 peratus permainan selepas itu, namun kekebalan benteng pertahanan Colombia berjaya menghalang pasukan lawan daripada melakukan percubaan tepat, sekali gus memenangi aksi tersebut.
Lebih menarik, kemenangan itu juga menyaksikan Colombia kini merekodkan 28 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam semua kejohanan sejak mereka tewas 0-1 kepada Argentina dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada 2 Februari 2022.
Kini, skuad bimbingan Nestor Lorenzo itu berpeluang menebus semula kekalahan tersebut apabila turun menentang Argentina dalam aksi final Copa America di Stadium Hard Rock, Florida pada Isnin ini.
Keyakinan para pemain Colombia tentunya berada pada tahap tertinggi kerana ini juga kali pertama pasukan No. 12 dunia itu beraksi di pentas final Copa America sejak mereka menjuarai edisi 2021 di laman sendiri.
Pencapaian terbaik La Tricolor di kejohanan itu sebelum ini adalah meraih tempat ketiga sebanyak dua kali sewaktu edisi 2016 dan 2021. – AGENSI