fbpx

Berbahasa Melayu dengan betul, elak bahasa rojak media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP

KUALA LUMPUR – Generasi muda terutamanya pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam kehidupan seharian dan jangan sesekali terpengaruh dengan bahasa di media sosial.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan juga Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, bahasa campur atau rojak yang banyak digunakan di media sosial akan merosakkan bahasa Melayu.

“Para pelajar perlu menggunakan bahasa Melayu yang betul tidak kira ketika mengikuti pengajian di sekolah mahupun dalam perbualan seharian.

“Pastikan bahasa Melayu itu tidak dicampur aduk dengan bahasa asing sehingga merosakkannya.

“Kita semua perlu mempunyai sifat ‘megah bahasa’ terhadap bahasa Melayu,” katanya.

Tambahnya, hal ini amat penting disebabkan jika elemen bahasa kebangsaan yang menjadi ‘tiang seri’ bagi negara kita musnah, maka usaha kita untuk bersama-sama membina Malaysia sebagai negara bangsa yang progresif akan menemui kegagalan.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, di sini hari ini.

Katanya, bagi memperkasakan bahasa Melayu, para pelajar digalakkan untuk membaca buku-buku yang baik, artikel, makalah supaya mereka dapat menguasainya dengan baik.

Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung pada 10 hingga 11 Julai telah disertai 16 pasukan daripada wakil sekolah di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Bintulu, Sarawak dan membawa pulang wang tunai RM2,500 serta piala kemenangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI