KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan persekutuan menyasarkan untuk memuktamadkan perjanjian bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) pada September tahun ini.
Jelas Rafizi, projek bagi dua negara itu dianggap sebagai ‘pencetus perubahan’ bagi hubungan dua hala antara negara berjiran Malaysia dan Singapura.
“Dalam mesyuarat bersama pengurusan tertinggi hari ini bagi saya adalah sangat menggalakkan dan melahirkan keyakinan bahawa perjanjian tersebut akan dimuktamadkan tepat pada masanya.
“Secara jujurnya saya terkejut kerana kami tidak perlu berusaha keras untuk meyakinkan merekam (pihak terlibat) tentang cadangan perjanjian ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mesyuarat bersama pengurusan tertinggi JZ-SEZ yang diadakan secara tertutup di Hotel Hilton, Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, kerajaan Singapura pada Januari lalu bersetuju untuk membangunkan JS-SEZ di selatan Malaysia iaitu Johor dan di utara Singapura bertujuan untuk menarik pelaburan, ekonomi dan tarikan pelancong luar.
Tambah Rafizi, perjanjian terakhir berkenaan projek tersebut akan ditandatangani menjelang pemukiman tahunan antara pemimpin Singapura dan Malaysia tahun ini.
“Saya begitu yakin bahawa perjanjian ini dapat dimuktamadkan dan menandatangani perjanjian besama tepat pada masa yang telah ditetapkan pada tahun ini,” katanya.
Sebelum ini akhbar melaporkan, Malaysia dan Singapura telah bersetuju dengan cadangan JS-SEZ yang menyediakan beberapa kemudahan termasuk sistem pelepasan imigresen tanpa pasport, kerjasama mengenai tenaga boleh diperbaharui serta memudahkan kelulusan perniagaan dua hala.
Kerajaan Johor sebelum ini telah mengemukakan rancangan untuk membina JS- SEZ di hab perniagaan Iskandar Malaysia dan daerah Pengerang yang menempatkan kompleks pembangunan minyak dan gas terbesar di Malaysia. – KOSMO! ONLINE