NORTH CAROLINA – Uruguay dilihat berada pada landasan tepat dalam misi memburu kejuaraan ke-16 di pentas Copa America dengan keyakinan para pemainnya turut meningkat susulan kejayaan menewaskan Brazil di suku akhir minggu lalu.
Biarpun beraksi dengan 10 pemain selepas Nahitan Nandez dilayangkan kad merah, namun La Celeste berjaya mencatat seri tanpa jaringan sebelum menewaskan Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.
Bagaimanapun, Uruguay perlu berdepan satu lagi lawan sukar iaitu Colombia yang masih belum tewas dalam 27 aksi berturut-turut sejak 2022 menjelang aksi separuh akhir di Stadium Bank of America pagi esok.
Pengendalinya, Marcelo Bielsa sudah mempunyai perancangan tersendiri meskipun mereka bakal turun tanpa Nandez yang digantung perlawanan selain dua lagi tonggak, Ronald Araujo dan Matias Vina kerana masalah kecederaan.
“Aksi menentang Colombia akan menjadi satu perlawanan yang sukar, sama seperti Brazil. Ini kerana Colombia adalah satu pasukan yang sedang membangun dan anda boleh melihatnya dalam setiap perlawanan mereka.
“Boleh dikatakan mereka mempunyai pemain yang berbahaya di setiap posisi. Namun, kami tetap yakin kami dapat memberikan tentangan sengit berjumpa dengan mana-mana lawan sekalipun,” katanya.
Dalam masa sama, bekas pengendali Leeds United itu berharap kecederaan dialami Araujo tidak serius dan boleh diturunkan menentang Colombia meskipun beliau merasakan situasi tersebut sukar sama sekali.
Buat masa ini, bek tengah Barcelona hampir pasti perlu menjalani beberapa siri pemeriksaan yang mungkin menyebabkan dia terlepas baki kejohanan.
“Kita tunggu pemeriksaan seterusnya esok (hari ini) sama ada boleh ataupun tidak. Ia lebih kepada kecederaan otot tetapi saya tiada jawapan lagi buat masa ini,” jelas Bielsa.
Atas kertas, Uruguay berjaya merekodkan sembilan kemenangan, lapan seri dan lima kekalahan sepanjang 22 pertembungan dengan Colombia sejak kali pertama bertemu pada 1993. – AGENSI