PETALING JAYA – Kemenangan tempat ketiga Syed Saddiq Abdul Rahman dalam acara ‘Triathlon Desaru 2024’ menjadi tanda tanya apabila terdapat dakwaan beliau sebenarnya tidak menghabiskan perlumbaan tersebut.
Menerusi semakan di laman sesawang Checkpointspot.asia mendapati keputusan Syed Syaddiq bagi kategori M30-39 diisytihar sebagai ‘DNF’ (did not finish). Ini bermakna beliau tidak berjaya menghabiskan perlumbaannya.
Menerusi tinjauan Kosmo!, tempat pertama bagi kategori itu disandang oleh Dieter Velter, manakala tempat kedua, Victor Er diikuti Adam Syahmi Md. Jasni pada tempat ketiga sekali gus menidakkan kemenangan Syed Saddiq sebelum ini.
Untuk rekod, seseorang peserta boleh diisytihar DNF sekiranya mengalami kecederaan atau tidak berjaya menghabiskan perlumbaan dalam masa yang ditetapkan.
Berdasarkan peraturan ditetapkan, perlumbaan Triathlon Desaru 2024 perlu diselesaikan dalam tempoh 1 jam 10 minit bagi disiplin renang dengan jarak sejauh 2 kilometer (km), 4 jam 30 minit untuk berbasikal (90 km) serta 3 jam untuk larian sejauh 21 km.
Terdahulu Kosmo! melaporkan kemenangan di tempat ketiga yang diraih Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dalam acara tersebut yang membabitkan tiga disiplin perlumbaan iaitu renang, larian dan berbasikal, diragui orang ramai setelah rekod yang dicatatkan seakan-akan tidak benar.
Menerusi ruangan komen di Instagram Syed Saddiq, seorang pengikut mendakwa beliau tidak menghabiskan disiplin berbasikal dengan lengkap sebelum mula meneruskan bahagian larian.
Dakwa pengguna tersebut, semasa disiplin berenang, Syed Saddiq yang berada di belakangnya tidak pernah mendahuluinya ketika berbasikal, namun boleh berada di depan semasa larian. – KOSMO! ONLINE