fbpx

Suami isteri naik Perodua Kenari dicekup cuba seludup petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Perodua Kenari dinaiki pasangan suami isteri yang ditahan semasa cuba menyeludup 75 liter petrol di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu dekat Tumpat semalam. KPDN

KOTA BHARU – Cubaan sepasang suami isteri untuk menyeludup sebanyak 75 liter petrol ke Thailand tidak berhasil selepas kereta yang mereka naiki ditahan di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu dekat Tumpat di sini semalam.

Kedua-dua suspek dicekup kira-kira pukul 11 pagi semasa anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menjalankan Operasi Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, anggota bertugas pada awalnya mengesan sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang berada dalam keadaan mencurigakan semasa mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Wakaf Bharu.

Menurutnya, anggota penguat kuasa kemudian berjaya mengesan kereta itu diletakkan di hadapan sebuah rumah di Kampung Dusun Langgar.

“Pasangan suami isteri itu didapati berada di dalam kereta tersebut sebelum anggota penguat kuasa terus bertindak menahan mereka.

“Pemeriksaan pada bahagian tangki kereta itu mendapati bahagian tersebut sudah diubah suai sehingga mampu menyimpan sebanyak 75 liter petrol sekali gus melebihi kuantiti asal yang dibenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azman memberitahu, pasangan suami isteri itu juga gagal mengemukakan sebarang lesen atau permit dan surat kuasa berkait pemilikan petrol tersebut.

Menurutnya, mereka akhirnya mengaku kesemua petrol itu akan diseleweng dan diseludup ke negara jiran melalui pengkalan haram.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kereta dan minyak petrol dianggarkan berjumlah RM5,175.

“Sehubungan itu, KPDN Kelantan akan mempergiat rondaan di stesen-stesen minyak yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sempadan negara bagi mengelakkan bahan api bersubsidi itu diseludup,” ujarnya.

Tambahnya, pasangan suami isteri itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI