fbpx

Siti Khadijah pantang orang aniaya haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Khadijah terkilan apabila masih wujud manusia tidak berhati perut yang sanggup menganiaya haiwan.

PETALING JAYA – Menganggap semua haiwan perlu dilindungi, pelakon Siti Khadijah mengakui terkilan apabila masih wujud manusia tidak berhati perut yang sanggup menganiaya makhluk tidak berdosa itu.

Ujar Siti atau nama sebenarnya Siti Khadijah Halim, 27, dia memahami sekiranya terdapat individu yang takut terhadap binatang namun itu bukan alasan untuk melakukan penderaan.

“Saya tahu ada yang takut kucing, anjing, katak dan sebagainya tetapi kalau anda tidak suka, saya merayu janganlah sakiti mereka.

“Saya baru sedar yang haiwan juga mempunyai perasaan sama seperti manusia. Ada perangai, trauma dan ketakutan.

“Ya ada yang memandang mudah terhadap haiwan kerana mereka tidak berdaya dan tidak boleh bercakap. Namun, itu tidak memberi anda hak sakiti mereka! Saya pantang kalau nampak orang cuba aniaya haiwan,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.

Menerusi perkongsian itu, Siti dilihat memuat naik foto bersama seekor anjing dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat agar memelihara kebajikan haiwan.

Pada masa sama, Siti juga berkongsi cerita sewaktu kanak-kanak dia pernah dikejar anjing ketika menunggang basikal sehingga membuatkannya trauma namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Masih tersisa perasaan takut terhadap anjing namun pelakon drama From Saga With Love itu mencuba sehabis boleh mengatasi ketakutannya.

“Sekarang pun saya masih lagi agak takut dengan anjing tetapi saya gembira kerana dapat mengatasi ketakutan ini.

“Bukan hanya takut dengan anjing, saya sebenarnya pun takut gelap, takut laut dalam dan banyak lagi.

“Tapi saya sekarang sudah hebat, boleh tidur di bilik gelap dan saya suka aktiviti menyelam. Saya gembira dengan perubahan yang dapat dilakukan dalam kehidupan ini,” ujarnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap empati pelakon terbabit selain menyokong kenyataannya yang menolak penganiayaan terhadap makhluk tidak berdosa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI