fbpx

Selangor kutip RM38 juta caj beg plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jamaliah bersama maskot utama Karnival Alam Sekitar dikenali Bumi pada sidang akhbar tersebut.

SHAH ALAM – Sebanyak RM38 juta dikutip daripada orang ramai menerusi kempen caj 20 sen bagi setiap beg plastik di Selangor sepanjang 2020 hingga tahun lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, kesemua wang tersebut kemudiannya disalurkan kepada projek berkaitan alam sekitar seperti sambutan Hari Bumi, program pokok bagi pendidikan selain pemasangan lampu solar.

Katanya, satu Karnival Alam Sekitar yang akan diadakan selama dua hari bermula 20 Julai ini di pusat beli belah 1 Utama turut menggunakan dana daripada kutipan caj tersebut.

“Pada karnival itu nanti, kita akan melakukan kajian dan pandangan orang ramai sama ada perlu dinaikkan harga bagi caj tersebut atau tidak, dalam memastikan keberkesanan kempen tersebut.

“Seperti diketahui, Pulau Pinang telah menaikkan harga atau caj sehingga RM1 namun kerajaan Selangor sangat menghormati pandangan rakyat negeri ini.

“Sebab kita tidak mahu tengok pada pandangan kerajaan negeri sahaja sebaliknya mahu justifikasi rakyat terhadap pelaksanaan caj tersebut,” katanya ketika sidang akhbar bagi penganjuran Karnival Alam Sekitar Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut mengadakan kerjasama dengan Merdeka Centre bagi melaksanakan kajian terhadap kesedaran alam sekitar.

“Berdasarkan kajian mereka secara kesimpulannya memang ada penambahbaikan daripada kesedaran terhadap kelestarian alam.

“(Kajian turut menunjukkan) Memang warga Selangor semakin sedar apabila ada antara mereka kalau pergi beli-belah akan dikenakan bayaran 20 sen (kalau mahu dapatkan plastik),” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI