PETALING JAYA – Rekaan pakaian atlet paralimpik ke Sukan Paralimpik Paris 2024 mendapat pujian ramai, lebih cantik, segar dan ‘international’.
Menerusi perkongsian Majlis Paralimpik Malaysia (PCM) di aplikasi X, memaparkan rekaan tersebut yang tampil dengan rona putih sebagai warna Utama.
Manakala belang harimau pada pakaian tersebut diwarnakan dengan warna biru, merah, kuning dan kelabu.
Pakaian tersebut nampak lebih segar dan dilihat berbeza dengan pakaian rasmi atlet sukan olimpik.
Temasya Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung di Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini manakala Sukan Paralimpik Paris 2024 pula pada 28 Ogos hingga 8 September 2024.
Lebih menarik perhatian apabila PCM turut menggunakan atlet paralimpik seperti Muhammad Imaan Aiman dan Abdul Razzaq Abdul Rahman sebagai model untuk memperagakan pakaian berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai memuji rekaan tersebut dan berpendapat rekaan tersebut lebih segar, cantik dan berbeza daripada kebiasaan.
Ada juga yang membandingkan rekaan baju tersebut dengan baju rasmi kontinjen negara bagi Sukan Olimpik 2024 yang sebelum ini mendapat kritikan di media sosial.
“Serius cantik warna dia ‘vibe’ Paris, corak ‘vibe’ harimau Malaya. Selamat maju jaya atlet Paralimpik Malaysia,” kata Ryrie Burges.
“Ini yang rakyat Malaysia mahukan, selamat berjaya,” kata Ned.
“Ni baru betul. Sampaikan netizen pun rasa nak beli. Sumpah lawa, nampak kelainan dekat situ. Bukan asyik nak kena belang je memanjang,” kata the_mujahidah.
“Baru la international punya level. Cantik gila,” kata Awa.- KOSMO! ONLINE