PETALING JAYA – Istana Negara mempersembahkan potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Potret itu dipersembahkan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini bertempat di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Sebanyak enam acara sampingan diadakan bersempena istiadat itu bermula dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat pada 18 Julai di Masjid Negara diikuti Khutbah Khas Solat Jumaat di masjid sama pada keesokan hari.
Acara terakhir adalah Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai nanti di Istana Negara.
Turut diadakan Majlis Santapan Diraja di istana tersebut pada 20 Julai, disusuli lawatan Raja Permaisuri Agong ke Hospital Orang Asli di Gombak, Selangor pada 23 Julai.- KOSMO! ONLINE