fbpx

Polis, MCMC giat buru ‘penyamar’ Raja Muda Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein ketika sidang akhbar selepas program Anak Syurga di Dewan Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. Foto AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiatkan usaha mengesan pemilik akaun TikTok palsu yang menggunakan gambar profil dan nama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya merujuk kes itu kepada SKMM bagi tindakan lanjut terutama menurunkan pautan mengenai akaun palsu tersebut.

Beliau menjelaskan, sekurang-kurangnya lima hingga enam pautan di aplikasi berkenaan sudah disekat setakat ini.

“Siasatan masih giat diteruskan bagi mengesan pihak yang terlibat dalam kes berkenaan terutama penyamarnya.

“Kita dalam proses mengenalpasti individu itu dan akan memanggilnya. Ia mungkin akan mengambil masa dengan kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya selepas merasmikan program Anak Syurga di Dewan Cerana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan polis Selangor membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada pejabat Istana Selangor kelmarin berhubung akaun TikTok didapati bukan milik Tengku Amir Shah dan disahkan palsu.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Md. Anuar Md. Amilah @ Harun di talian 019-2255597 atau balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, Hussein berkata, pihaknya menerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor mencadangkan pembinaan satu pusat pendidikan khas bagi warga polis yang mempunyai anak istimewa termasuk autistik.

“Langkah itu bagi membantu pegawai atau anggota polis mempunyai ilmu berkaitan penjagaan golongan berkenaan daripada pakar kanak-kanak dan psikologi.

“Saya percaya jika mereka berada dalam keadaan stabil, mereka boleh menjalankan tugas kepolisan dengan baik. Namun, kalau mereka ada masalah dengan anak istimewa di rumah, ia mungkin boleh merencat penugasan,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI