KUALA LUMPUR – Autisme tidak menjadi penghalang kepada pemilik Daniel’s Corner, Muhammad Daniel Mohd. Idham, 23, bagi membuktikan bahawa dia mampu uruskan sebuah bakeri seperti insan normal lain.
Muhammad Daniel yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor bukan sahaja didiagnosis mengalami autisme, malah dia turut menghidap disleksia, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan gangguan makan sejak berusia tujuh tahun.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, bukan mudah untuk dia berada sebaris dengan manusia normal yang lain kerana setiap tindakannya memerlukan usaha dua hingga tiga kali ganda bagi memperoleh kejayaan sama.
“Saya memang berusaha keras untuk ubah hidup saya, tetapi saya syukur dan terima keadaan saya, sebab Allah dah jadikan saya yang terbaik.
“Saya mungkin kurang atau lambat dari segi pemikiran, tapi saya ada kelebihan yang lain, saya pandai buat kek, biskut dan saya juga semakin baik dalam mengikut sesuatu arahan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Selain sibuk menguruskan bakeri, Muhammad Daniel juga bekerja di sebuah restoran makanan segera bagi meningkatkan kemahiran bergaul bersama orang ramai serta turut membantu ibunya mengendalikan perniagaan katering.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Daniel, Shuhaila Saidon, 50 berkata, selepas beberapa usaha yang panjang dilakukannya bersama suami, anak sulungnya itu menunjukkan kebolehan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang lain.
“Saya dan suami banyak belajar cara uruskan Daniel, kami pergi banyak kelas, kursus untuk kenali dia dengan lebih dalam. Dari peringkat sekolah lagi dah nampak bakat dia dalam bidang bakeri.
“Sebagai ibu bapa yang mahukan Daniel berjaya, kami fokus kepada bakat dia, biasakan dia dalam dunia kebolehan dia sehingga tertubuhnya Daniel’s Corner pada tahun 2021,” ujarnya.
Seorang lagi pemuda autistik, Ahsan Ahnaf Masdi, 22, telah berjaya membuktikan dia mampu menamatkan pengajian peringkat sekolah dan Sijil Reka Bentuk dan Grafik dengan cemerlang di Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik, Kedah dalam tempoh sama seperti pelajar lain.
Menurut Ahsan, dia kemudian mengikuti program transisi ke kerjaya selama tiga bulan di Akademi Pemboleh (EA) Yayasan Gamuda dan kini sudah bersedia sepenuhnya menunggu tawaran kerja oleh mana-mana syarikat berkaitan.
“Alhamdulillah, sangat seronok belajar di IKM dan saya menimba banyak ilmu sebab impian saya nak jadi digital artist (seni digital) atau pereka grafik,” katanya.
Turut melakar kejayaan hebat, remaja autistik Qaid Hashim, 18, kini tersenyum puas apabila memperoleh kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan mendapat tawaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) jurusan Diploma Pendidikan Islam, baru-baru ini.
Ibunya, Nasry Hasliza, 50, berkata, cabaran dia bersama suami dalam memastikan kebajikan dan keperluan Qaid cemerlang dalam pelajaran serta kehidupan harian sangat berbaloi.
“Qaid didiagnosis sebagai mild autisme dan social anxiety disorder. Dia selesa bertutur guna Bahasa Inggeris hanya berkomunikasi bila perlu selain memilih dengan siapa mahu bercakap,” jelasnya.
Dia turut berterima kasih kepada guru Qaid kerana banyak membantu.