NORTH CAROLINA – Pengendali Colombia, Nestor Lorenzo mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terus dibuai dengan kejayaan melangkah ke separuh akhir Copa America menjelang pertemuan getir menentang Uruguay di Stadium Bank of America pagi esok.
Lorenzo, 58, tidak mahu mereka mensia-siakan peluang keemasan untuk melangkah ke pentas final buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun sejak kali terakhir melakukannya ketika menjuarai edisi 2001 di laman sendiri.
Los Cafeteros gagal mengulanginya dalam tujuh edisi selepas itu dengan pencapaian terbaik adalah meraih tempat ketiga sebanyak dua kali ketika edisi 2016 di Amerika Syarikat dan 2021 di Brazil.
Kini, pasukan No. 12 dunia itu berpotensi untuk melangkah ke final berdasarkan prestasi semasa mereka yang masih belum tewas daripada 27 perlawanan antarabangsa berturut-turut sejak tewas 0-1 kepada Argentina ketika kelayakan Piala Dunia 2026 pada 2 Februari 2022.
“Matlamat sekarang adalah memenangi aksi separuh akhir kerana ini satu perlawanan yang amat penting buat Colombia.
“Pemain sendiri perlu menyedari mengenai kepentingan mereka mewakili pasukan ini dan apa makna sebenar apabila menyarung jersi Colombia. Mereka perlu berbangga dan tunjukkannya di atas padang,” kata Lorenzo.
Persekutuan Bola Sepak Colombia membuat keputusan tepat melantik Lorenzo pada 9 Julai 2022 meskipun pengendali itu cuma berpengalaman melatih kelan Peru, Melgar selama setahun lebih dari 1 Januari 2021 hingga 8 Julai 2022.
Lorenzo membalas kepercayaan itu dengan merekodkan 75 peratusan kemenangan selain turut menjadi individu penting menaikkan semula prestasi bekas-bekas bintang Colombia seperti kapten mereka, James Rodriguez.
“Saya kembali menikmati permainan di atas padang. Sebenarnya tanpa bantuan jurulatih dan rakan-rakan, kami tidak mampu untuk bermain bagus seperti sekarang.
“Segala yang kami lakukan sekarang adalah hasil kerja berpasukan, bukannya disebabkan saya seorang,” kata Rodriguez yang kini menyarung jersi kelab Brazil, Sao Paulo. – AGENSI