LANGKAWI – Lima premis termasuk pejabat bot persiaran atau ‘island hopping’ dan kedai cenderamata dekat Jeti Teluk Baru di Jalan Teluk Baru, Pantai Tengah, di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Persiaran Putra, Penolong Penguasa Mohd Hizami Ahmad Azraai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.44 malam tadi.
“Pasukan keluaran operasi mendapati kebakaran melibatkan deretan lima buah kedai kelas B dengan anggaran kemusnahan 80 peratus,” katanya di sini hari ini.
Katanya, tindakan pemadaman dilakukan dengan menggunakan dua aliran empat pancutan pam jentera dan sumber air terbuka dari laut.
“Keluasan setiap kedai terlibat dianggarkan 7.3 meter persegi. Kes ini tidak melibatkan mangsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE