fbpx

Pecah tanah projek pembangunan Kampung Sungai Baru hujung tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sesi pecah tanah projek pembangunan Kampung Sungai Baru, di sini bakal dilaksanakan pada hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata, pelaksanaan pembinaan pula dijangka dimulakan pada suku pertama 2025.

Jelas Dr. Zaliha, pihaknya sudah bertemu kedua-dua pihak dan mendengar dengan teliti setiap penjelasan serta harapan yang disuarakan berhubung projek pembangunan berkenaan.

“Saya berpandangan kerajaan harus berlaku adil kepada pihak majoriti yang bersetuju dan akur sejak awal dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

“Antara asas-asas pertimbangan adalah urusan pengambilan tanah yang dibuat adalah teratur, penilaian tanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah adil berasaskan Jadual Pertama Akta Pengambilan tanah dan pemberian tambahan pampasan diberikan diantara 10 hingga15 peratus oleh JKPTG.

“Malahan, golongan minoriti ini telah diberikan penempatan sementara, dan juga pernah diberikan peluang yang sama dengan golongan majoriti, iaitu balasan rumah dengan keluasan yang lebih besar, selesa, dan guaranteed value yang akan meningkat pada masa akan datang melalui perjanjian JV dengan pihak pemaju,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) berhubung status terkini projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur serta tindakan yang diambil terhadap pemaju projek ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu beliau berkata, projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru tertangguh kerana ia merupakan isu legasi yang diwarisi beberapa pentadbiran kerajaan parti politik berbeza-beza.

Tegas beliau, projek pembangunan semula ini memerlukan ‘tekad politik’ jika mahu diselesaikan segera.

“Hala tuju kepada projek ini memerlukan ‘keputusan objektif’, bukannya ‘keputusan populis’ semata-mata, sebagaimana sering dicanangkan oleh mantan yang lain.

“Dengan pendekatan ini, dalam masa enam bulan sejak saya teraju Wilayah Persekutuan, projek yang terbengkalai menginjak ke tahun ke-8 ini, kini akhirnya bakal dimulakan sedikit masa lagi,” ujarnya.

Mengenai pampasan pula katanya, jumlah pampasan sebanyak RM198,000 hingga RM350,000 telah diberi bagi rumah pangsa, manakala bagi rumah teres pula adalah RM800,000 hingga RM2.9 juta yang dibuat oleh agensi yang sah.

Dalam masa sama beliau turut menegaskan bahawa Kampung Baru akan kekal sebagai simbol kemajuan orang Melayu di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

“Ia akan menjadi ikon komersial orang Melayu pada masa hadapan dan
tujuan ini, saya akan pastikan pelaksaaan Pelan Induk Pembangunan Kampung Baru 2040 akan dilaksanakan secara telus dan mampan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI