ALOR SETAR – Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam laut dipercayai cuba melarikan diri dalam satu operasi di 4.1 batu nautika barat dekat muara Kuala Kedah, dekat sini malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, dalam kejadian pukul 9.50 malam itu, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis yang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 3.0 mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan.
“Susulan itu, bot ronda Maritim Malaysia merapati bot nelayan tersebut kerana disyaki melakukan aktiviti menangguk siput yang tidak dibenarkan di perairan Perlis.
“Pemandu bot nelayan itu kemudian memecut laju ke arah perairan Kedah setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa. Semasa aksi kejar buru, seorang kru bot berkenaan disyaki terjun ke dalam laut,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut ke atas bot itu menemui tiga nelayan dan mereka memaklumkan seorang lagi kru telah terjun ke dalam laut.
Tambahnya, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) berkenaan kejadian tersebut, seterusnya mengkoordinasikan operasi carilamat.
“Bot ronda Maritim Malaysia, bot Perkasa 1224 dan bot Perkasa 1227 ditugaskan ke lokasi mangsa disyaki terjun ke laut. Usaha mengesan mangsa turut disertai oleh agensi sahabat iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan beberapa bot nelayan tempatan setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE