fbpx

Mogok pekerja Samsung dibimbangi jejas pengeluaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan mengadakan mogok di luar sebuah kilang di Hwaseong pada 8 Julai lalu. - AFP

SEOUL – Sebuah kesatuan yang mewakili berpuluh-puluh ribu pekerja Samsung Electronics di Korea Selatan menyatakan bahawa ia akan melanjutkan mogok sehingga satu tempoh yang tidak ditetapkan dalam usaha bagi memaksa pihak pengurusan untuk berunding.

Mogok itu merupakan tindakan buruh terbesar dalam sejarah gergasi teknologi tersebut sekali gus meningkatkan tekanan ke atas pengurusan syarikat pembuat cip itu.

“Kami mengisytiharkan mogok umum kedua bermula 10 Julai (hari ini) selepas mengetahui bahawa pihak pengurusan tidak bersedia untuk berunding,” kata Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan dalam satu kenyataan.

Lebih 5,000 ahli berhenti bekerja pada Isnin lalu untuk menyertai mogok tiga hari, yang merupakan sebahagian daripada pertikaian berpanjangan mengenai gaji dan faedah.

Kesatuan itu mempunyai lebih 30,000 ahli iaitu lebih satu perlima daripada jumlah tenaga kerja syarikat berkenaan.

Sementara itu, Samsung Electronics memberitahu AFP semalam bahawa mogok itu tidak akan menjejaskan pengeluaran.

“Samsung Electronics akan memastikan tiada gangguan berlaku dalam barisan pengeluaran. Syarikat kekal komited untuk terlibat dalam rundingan dengan niat baik dengan kesatuan,” kata seorang jurucakap kepada AFP.

Bagaimanapun, Kesatuan Samsung Electronics Kebangsaan mengesahkan berlakunya gangguan yang jelas dalam pengeluaran serta menambah, semakin lama mogok berlangsung, semakin banyak pihak pengurusan akan menderita.

“Akhirnya nanti, mereka (pengurusan) akan berlutut dan datang ke meja rundingan. Kami yakin akan mencapai kemenangan,” tambah kesatuan itu.

Pekerja sebelum ini menolak tawaran kenaikan gaji sebanyak 5.1 peratus, dengan kesatuan sebelum ini menggariskan beberapa tuntutan termasuk penambahbaikan cuti tahunan dan bonus berasaskan prestasi yang telus. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI