PUTRAJAYA- Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan menjalankan audit bebas terhadap Pembangunan Sumber Manusia Bhd. (HRD Corp) berikutan laporan dikeluarkan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau telah mengarahkan Kesuma untuk menjalankan audit bebas itu dengan melantik juruaudit profesional pihak ketiga bagi menjamin ketelusan.
“Audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garispanduan dalam isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC.
“Kesuma kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional pihak ketiga dan proses itu dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Jelasnya, tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan yang dikeluarkan bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit dilantik.
“Audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain.
“HRD Corp telah diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan,” jelasnya.
Katanya, satu pasukan petugas khas (special taskforce) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudahcara siasatan.
“Pasukan petugas khas ini seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE