IPOH – Kemampuan mengukuhkan kedudukan kewangan negeri dianggap sebagai kejayaan Kerajaan Perpaduan Perak yang berusia 597 hari setelah dibentuk pada 21 November 2022.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peningkatan surplus negeri lebih dua kali ganda menjadi RM62.4 juta pada tahun 2023 adalah tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah negeri.
Tambahnya, kesungguhan kerajaan juga membuahkan hasil apabila kutipan hasil negeri melonjak mencecah RM1.21 bilion pada tahun 2023 yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah.
“Hari ini genap 597 hari usia Kerajaan Perpaduan negeri Perak yang dibentuk pada 21 November 2022,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau menjawab demikian ketika membalas pertanyaan Nga Kor Ming (DAP-Kepayang) yang meminta Menteri Besar menerangkan kejayaan dan pencapaian kerajaan perpaduan sejak diberi amanah utk mentadbir negeri Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau turut menyenaraikan beberapa prospek pelaburan di seluruh Perak seperti Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).
Saarani berkata, tumpuan negeri dalam membangunkan industri mineral sebagai sumber hasil baharu juga menunjukkan kejayaan yang sangat signifikan apabila telah menjana royalti.
“Bahkan, dari segi kutipan royalti keseluruhan bahan mineral di negeri Perak telah meningkat kepada RM129,496,825 pada tahun 2023 berbanding RM101,532,294 pada tahun 2022,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE