JAKARTA – Jabatan Pemuliharaan Sumber Alam (BKSDA) Kalimantan Timur memburu seekor orang utan gergasi yang didakwa mempunyai saiz badan setinggi sebuah rumah, lapor laman berita Banjarmasin Post semalam.
Sebelum ini, satu rakaman video tular di media sosial memaparkan orang utan tersebut mencari makanan di sebatang pokok. Ia berlaku di sebuah kawasan didiami penduduk yang dipercayai di Kalimantan Timur.
Ketua BKSDA wilayah tersebut, Ari Wibawanto berkata, pihaknya masih menjejaki haiwan itu.
Menurutnya, pengguna media sosial yang mula memuat naik video orang utan gergasi itu sudah memadamkan hantaran tersebut sekali gus menyukarkan pihaknya memburu haiwan tersebut.
“Namun, kita tetap mencari lokasi yang sesuai dengan paparan di video itu,” katanya.
Ari menyatakan bahawa orang utan yang terdapat alam video itu berkemungkinan haiwan jantan kerana ia memasuki kawasan didiami penduduk.
“Ya, tingkah lakunya pasti untuk mencari haiwan betina atau mencari makan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai saiz orang utan tersebut yang didakwa luar biasa, Ari berkata, perkara itu terjadi mungkin disebabkan sudut rakaman video berkenaan.
“Jika kita lihat sudut video, ia dirakam dari bawah. Kita juga tidak tahu jarak orang utan itu dengan rumah tersebut.
“Justeru, mungkin disebabkan faktor sudut rakaman video, ia memberi kesan seolah-olah ia (orang utan) bersaiz gergasi,” jelasnya. – AGENSI