fbpx

DUN Selangor : Pinda enakmen banteras isu nikah sindiket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang mengkaji pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 dalam membanteras isu nikah sindiket.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, ini melibatkan penambahan peruntukkan jelas berkaitan individu atau ejen yang mempromosi atau menggalakkan pernikahan berlawanan dengan peruntukkan undang-undang.

Katanya, hukuman juga akan dinaikkan bagi kesalahan berkaitan termasuk bersubahat dalam pernikahan sindiket tersebut.

“Pada tahun ini sahaja, tujuh daripada 14 siri bengkel yang dirancang oleh JAIS telah dibuat bersama pihak berkepentingan bersama melibatkan agensi agama lain termasuk Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Selangor dengan nasihat Pegawai Syariah Pejabat Kamar Negeri, Pegawai Undang-Undang JAIS bersama Sekretariat Bahagian Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS).

“Perancangan selanjutnya akan dibawa dalam perbincangan teknikal Jawatankuasa Undang-Undang MAIS sebelum pembentangan dalam mesyuarat MAIS dan terakhir akan dibentang untuk sidang DUN pada tahun 2026,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Jefferi Mejan (PN-Ijok) ingin mengetahui inisiatif kerajaan negeri untuk mengekang nikah sindiket di luar negara yang dibuat tanpa kebenaran JAIS malahan dilihat berani mempromosikan pakej pernikahan di luar negara seperti Thailand.

Jelas Mohammad Fahmi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, kesalahan berkaitan nikah sindiket menggunapakai dibawah Seksyen 124 Berpoligami Tanpa Kebenaran Mahkamah dan Seksyen 40 (2) Kesalahan berhubung Akad Nikah Perkahwinan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Tegasnya, hukuman yang boleh dikenakan antaranya ialah RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan JAIS juga ada membuat lawatan berkala seperti di Songkhla, Selatan THailand untuk menjalinkan hubungan dengan pusat-pusat pernikahan di lokaliti tersebut.

“Ini supaya data-data melibatkan pernikahan warga Malaysia dapat dikongsi sama dengan negeri selangor dengan jabatan berkaitan di Selangor,” ujarnya.

Ketika menjawab soalan Nurul Syazwani Noh (PN – Permatang) berhubung ketidakseriusan undang-undang susulan sehingga Jun ini didapati terdapat 52 kes namun tiada hukuman dikenakan, Mohammad Fahmi memaklumkan beliau setuju sekiranya perundangan perlu diperketatkan di peringkat tertinggi.

“Kita ada dilema dalam undang-undang dan hukum syarak. Saya setuju kalau dilihat angka kes tertangguh itu harus diselesaikan segera tetapi ada isu tidak cukup hakim dan seumpamanya,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI